MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) menggesa kerajaan melaksanakan penyelarasan elaun tetap
perumahan kumpulan pelaksana kakitangan awam membabitkan gred 40 dan ke
bawah dalam Bajet 2015.
Presidennya, Azih Muda, berkata penyelarasan elaun dari RM180 ke
RM450 itu perlu dipertimbangkan dan dilaksanakan dengan segera kerana ia
adalah isu tertunggak yang memberi kesan langsung kepada kira-kira
700,000 kakitangan pelaksana di negara ini.
Beliau berkata, kadar elaun itu tidak dikaji lebih 11 tahun dan sudah
masanya ia dipertimbangkan dalam bajet akan datang selaras dengan taraf
ekonomi yang kian meningkat.
"Kenaikan ini wajar dipertimbangkan kerana harga sewa rumah sama ada
di kawasan bandar atau luar bandar tidak dapat lagi pada harga RM180.
"Justeru kumpulan pelaksana ini terpaksa memperuntukkan sejumlah
besar gaji yang diperoleh bagi menampung sewa rumah," katanya dalam
sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-26 Kesatuan
Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan di sini, hari ini.
Azih berkata, dianggarkan lebih 50 peratus daripada 1.5 juta penjawat
awam di negara ini terutama kumpulan pelaksana terpaksa menyewa kerana
tidak mampu membeli rumah disebabkan harga yang tinggi.
Beliau berkata, isu itu jika tidak ditangani dengan baik mampu
memberi kesan buruk bukan sahaja kepada golongan penjawat awam malah
kepada negara.
"Kita bimbang golongan ini tidak mampu memiliki rumah sehingga mereka bersara dan akhirnya menjadi gelandangan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata CUEPACS juga meminta kerajaan mengkaji
semula tindakan pemotongan elaun sara hidup (COLA) penjawat awam yang
tinggal di kuarters kerajaan bagi meringankan beban golongan berkenaan.
"Pemotongan ini tidak wajar kerana kuarters adalah kelebihan yang
diberikan kepada kakitangan awam dan elaun COLA itu tidak seharusnya
dipotong dengan pemberian kelebihan itu," katanya.