‘Saya memang tak percaya’


Makkah: “Saya memang tidak percaya apabila ditawarkan projek ini (pembesaran Masjidil Haram) kerana selama ini banyak terbabit dengan projek pusat beli-belah mega, loji penapisan minyak di Melaka, projek Universiti Petronas di Seri Iskandar, Perak dan projek Lynas di Gambang, Pahang.

“Saya terima tawaran ini kerana dapat pergi ke Masjidil Haram selain Kaabah ini terlalu dekat dengan hati kita dan apabila terbabit dengan projek ini, nak buat silap pun takut.”katanya.

Itu perasaan diluahkan perunding kos rakyat Malaysia Mohd Russ Abbas, 36, yang terbabit dalam projek pembesaran Masjidil Haram.

Dia yang berkhidmat dengan sebuah syarikat di Arab Saudi mengakui kejujuran dan ketelusan amat penting bagi mana-mana projek yang disertai.

“Bagi saya kita kena telus dan jujur terutama apabila terbabit dengan pembesaran tempat suci umat Islam dan seboleh-bolehnya tidak berlaku sebarang kesilapan langsung.

“Bos kita yang sebenar bukan yang bayar gaji, tetapi di atas sana (Allah SWT).

Itu yang saya rasa,” kata anak kelahiran Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor.

Mengimbas kehadiran di Makkah, Mohd Rus berkata, dia dan keluarga datang ke Makkah pada awal 2011 dan dua tahun pertama terbabit dalam projek pembesaran Masjidil Haram dan kini terbabit dalam projek pembesaran mataf (tempat melakukan Tawaf).

Dia berkata, kehadirannya diterima baik oleh kerajaan Arab Saudi dan kontraktor serta profesional yang terbabit dengan peojek itu.

“Saya melihat prospek anak Malaysia besar (di Makkah), mereka memerlukan tenaga kerja dan kepakaran dan ia memang dimiliki golongan profesional rakyat Malaysia.

“Sebagai contoh, pembangunan Makkah adalah paling pesat yang memerlukan profesional beragama Islam dan Malaysia dilihat antara negara yang paling hadapan dari segi industri pembinaan.

“Insya-Allah sepanjang empat tahun ini jumlah kami sudah bertambah dan boleh mengadakan pertemuan dua minggu sekali, berkongsi maklumat dan ilmu dengan ustaz-ustaz dan pelajar Malaysia di sini,” kata bekas penuntut Universiti Teknologi MARA dalam bidang ukur bahan itu Beliau berkata, biarlah lebih ramai rakyat Malaysia menyumbang buah fikiran dan tenaga di Makkah.

Menurutnya, dia sendiri terbabit dalam projek pembinaan kawasan mataf di Masjidil Haram dan ia bermula pada 2009.

“Dari segi fizikal, projek ini bermula pada akhir 2012 dan mempunyai dua fasa iaitu pertama kita akan runtuhkan bangunan Masjidil Haram yang dibina pada zaman King Faisal.

“Kami akan runtuhkan bangunan ini dan bina bangunan baru yang akan memberikan keselesaan kepada jemaah haji dan umrah melakukan Tawaf dengan lebih mudah.

“Projek terbahagi kepada tiga fasa dan sekarang, berada di fasa kedua dan akan masuk fasa ketiga sebaik tamat musim haji tahun ini dan jika lihat sekarang mereka bersedia untuk turunkan kubah.
“Oleh itu, bila bahagian ini diruntuhkan maka lengkaplah pusingan bangunan baru masjid, ” katanya.