KUALA LUMPUR: Jika bertemu Syafinaz Selamat, dua soalan klise yang
sering diajukan ialah mengenai album terbaru serta perihal kahwin. Guru
vokal dan pensyarah muzik ini mengakui dua persoalan itu terus bermain
di fikiran namun kesibukan membataskannya.
Selama 11 tahun beliau tiada album terbaharu. Malah, sejak beberapa
tahun bertemunya, cerita album tak pernah lekang di mulut dan setiap
kali ditanya Syafinaz menyasarkan albumnya akan keluar dalam jangka masa
terdekat. Kali terakhir beliau muncul dengan album ialah pada 2002.
Demikian juga dengan kisah kahwin. Di saat usianya kini, Syafinaz
memang layak untuk dicintai dan mencintai tetapi jelas sekali beliau
masih berstatus solo. Ikuti penjelasan penyanyi lagu Ingin Bersamamu
ini.
"Macam mana nak kahwin kalau hari-hari saya sibuk dengan komitmen
kerja. Malah dek kesibukan ini juga, album saya terus tertunda. Album
saya kini sudah selesai proses adunan. Tapi sesibuk manapun, saya kena
pastikan tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari.
"Itupun kadang-kadang terbabas tidur lewat. Bukan kadang-kadang lagi
balik rumah lewat, tapi sudah selalu pula jadinya. Kalau balik rumah
dalam jam 2 ke 3 pagi itu normallah. Tapi tidur kena cukup walaupun
sesibuk manapun saya kena jaga waktu tidur untuk kepentingan vokal,"
katanya dalam pertemuan yang diaturkan Jabatan Kebudayaan & Kesenian
Negara (JKKN) baru-baru ini bertempat di Muzium Negara.
Ketika temubual Syafinaz turut ditemani temannya yang juga konduktor
koir , Amri Zane. Pada 20 dan 21 September ini Syafinaz akan terbabit
dengan Konsert Koir Kebangsaan bertemakan klasikal di Auditorium DBKL,
Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, KL.
Konsert ini anjuran JKKN dan Syafinaz turut bertindak sebagai
Jurulatih Vokal, Pengarah Persembahan dan Vokal serta dibantu Pengarah
Koir Kebangsaan, Tunku Marina Tunku Datuk Zubir.
Konsert ini akan memaparkan repertoire dan segmen nyanyian lagu
berlandaskan klasik seperti lagu asli Melayu, inang, joget, keroncong
serta zapin, dan juga Klasik Barat terdiri daripada lagu dari era
Renaissance hingga ke era romantik.
"Konsert ini mengembalikan seni koir itu sendiri yang berasaskan
klasikal. Koir Kebangssan sendiri bermula dengan klasikal. Konsert ini
mahu penonton lebih menghargai suara dan bukannya membabitkan pergerakan
seperti tarian berirama.
"Selama ini kita sudah disogok dengan benda komersial yakni koir yang
menyelitkan visual seperti pergerakan yakni tarian. Benar mungkin akan
ramai yang lebih menghargai koir sedemikian berbanding klasikal yang
lebih terarah kepada berdiri kaku atau sedikit pergerakan.
"Kalau orang tak menghargai koir klasikal, kita tak ada inisiatif
menghidupkannya semula. Umpamanya budaya akan terus pupus kalau kita
berfikiran sebegitu. Kita harus sedarkan klasikal tidak boring dan kalau
tepat pemilihan lagu, ia akan jadi berwarna serta menghiburkan,"
katanya bersemangat.
Amri pula berkata konsert ini tidak wajar dilepaskan.
"Ia berbalik kepada konsert asal koir yang lebih teknikal dan terarah
kepada tumpuan penggunaan vokal seperti nada suara, keseimbangan
dinamik. Kita juga mahu mengangkat irama tradisional di Malaysia dalam
bentuk koir.
"Ada persembahan solo, trio, kuartet dan beramai-ramai menerusi kumpulan kecil,"katanya.
Syafinaz dan Amri menjelaskan konsert kali ini yang meneruskan
kesinambungan konsert terdahulu yang dilaksanakan JKKN sejak tahun 2005
seperti Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2012), Konsert No
Wrong Notes (2011) dan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal
Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) tidak akan
menjemukan penonton yang hadir.
Tiket menonton konsert ini boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz
pada harga RM10, RM20 dan RM30. Diskaun turut akan diberikan kepada
pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Tiket juga boleh
dibeli di Istana Budaya dengan menghubungi 03-41498600.
Pihak Urusetia turut menyediakan khidmat pembelian tiket sebelum
malam konsert berlangsung pada 21 dan 22 September ini di Auditorium
DBKL bermula jam 4 petang.