Liyana Jasmay Hasilkan Jubah


Perjumpaan antara Liyana Jasmay dan Bella Ammara dan suami, telah menghasilkan sebuah persetujuan di mana, mereka berkolaborasi dalam menghasilkan koleksi yang terbaru. Menamakan koleksi tersebut sebagai BELLALIYANA01. Ia berkonsepkan classic and luxe untuk keluaran khas bersempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal tiba khas buat para pelanggan setia Bella Ammara dan peminat Liyana Jasmay.

Koleksi jubah yang mempunyai 10 warna kegemaran ini diberi nafas baru menggunakan gabungan tweed lace disempurnakan lagi dengan elemen beadswork Swarovski yang cukup minimal tetapi mewah. Berdasarkan nama BELLALIYANA01 ia tidak akan terhenti sampai di sini dan akan diteruskan berdasarkan permintaan dan respon pelanggan-pelanggan.

Liyana Jasmay yang turut menyumbang idea terhadap koleksi BELLALIYANA01 dan berharap koleksi ini akan ada kesinambunganya.

“Kerjasama ini adalah tidak disengajakan, secara kebetulan saya menemani kakak saya yang amat meminati jubah datang ke butik mereka. Sewaktu itu, pertama kali saya mencuba dan membeli koleksi mereka ternyata cantik dan sangat selesa. Dari situ perkenalan kami bermula dan mereka menawarkan saya untuk berkerjasama.”

Koleksi jubah BELLALIYANA01 ini boleh mula dimiliki di butik Bella Ammara yang baharu dibuka di Shah Alam pada harga RM294. Manakala jualan secara online akan dibuka tidak lama lagi untuk semua pelanggan-pelanggan setia Bella Ammara di seluruh Malaysia.

Bercerita mengenai perkembangan terkini Liyana, dia lebih gemar bekerja di belakang tabir. Menurut Liyana dia sudah tidak berasa untuk kembali berlakon kerana dengan statusnya sebagai seorang isteri dan juga ibu kepada Sofia Arissa. Tetapi jika ada tawaran dia akan pertimbangkan. Menerusi produksinya Mermaid Studio, Liyana dalam perancangan menghasilkan sebuah supertele yang akan menjalani penggambaran di luar negara.