SEKALI pandang, wajah Manchester United ketika ini lebih garang
berbanding kelab gergasi benua lain seperti Real Madrid, Barcelona atau
pun Bayern Munich.
Jumlah perbelanjaan - sebelum tarikh tutup jendela perpindahan -
adalah STG150 juta dan bintang yang diikat, termasuk Radamel Falcao dan
Angel Di Maria amat menggerunkan. Cuma United terlupa mereka tidak akan
beraksi dalam Liga Juara-Juara, musim ini.
Skuad kaya milik Louis Van Gaal ini mungkin berharga untuk musim depan bagi memburu gelaran benua itu.
Himpunan barisan bintang ini menyaksikan gergasi Liga Perdana
Inggeris lain - Liverpool, Manchester City dan Arsenal nampak kecil
sikit daripada skuad The Reds Devils. Ini amaran awal.
Sesungguhnya pelaburan besar di Old Trafford musim ini menceritakan
mahkota kejuaraan EPL - trofi idaman United - mampu dirampas semula.
Tidak dinafikan gergasi Inggeris ini menjadi tumpuan global selepas
berjaya menambat Falcao pada hari terakhir jendela perpindahan - usaha
yang turut dilakukan Arsenal, City dan Liverpool sebelum ini.
Bagi 19 pesaing dalam EPL, harus terbit satu detik bimbang apabila
memikirkan tenaga penggempur United dengan Falcao, Robin van Persie,
Wayne Rooney dan Di Maria sepanjang musim ini.
Jangan lupa, van Gaal juga miliki Juan Mata dan pemain muda, Adnan
Januzaj untuk mencipta gandingan serangan paling berbisa di liga dan
Eropah selepas ini.
Andai berpandu kepada kekuatan dan kelincahan mereka, trofi EPL seperti menunggu mereka Mei depan.
City dan Chelsea - dua kelab yang kurang terdesak mencari tonggak
baharu - membeli pemain yang sesuai untuk menampung jentera mereka.
Secara keseluruhan mereka nampak lebih stabil ketika ini selepas tiga
perlawanan liga andai berpandu kepada kedudukan carta.
Jose Mourinho tersenyum ketika ini apabila pembelian Diego Costa
dari Atletico Madrid dan Cesc Fabregas (Barcelona) dengan nilai
terkumpul STG62 juta (RM310 juta) memberi hasil awal selepas menang tiga
kali dan menghuni tangga teratas liga.
Manuel Pellegerini belum cemas selepas City kalah mengejut kepada
Stoke City 1-0, sebaliknya menaruh harapan ke atas barisan hampir sama
yang menjuarai mahkota EPL, musim lalu. Pembelian terbesar cuma Eliaquim
Mangala dari FC Porto dengan nilai 32 juta (RM160 juta).
Arsenal yang hampa tidak dapat menambat Falcao, akhirnya terpaksa
menerima kehadiran Danny Welbeck dari United pada perpindahan di
saat-saat terakhir. Arsene Wenger amat mengharapkan penyerang England
itu dapat mengisi tempat Olivier Giroud yang tercedera. Pengendali The
Gunners juga pasti berharap gandingan Welbeck-Alexis Sanchez dapat
memberi pulangan baik pada akhir, musim ini.
Liverpool - kelab yang membuat perbelanjaan kedua terbesar selepas
United dengan pelaburan STG117 juta (RM585 juta) harus memberi impak
besar, musim ini selepas menggunakan wang hasil penjualan Luis Suarez
membeli beberapa pemain ternama menguatkan cabaran, termasuk untuk
kempen Liga Juara-Juara.
Adam Lallana, Dejan Lovren, Lazar Markovic dan Mario Balotelli
yang bernilai STG81 juta (RM405 juta) daripada jumlah itu harus menyinar
membantu The Reds untuk memburu mahkota kejuaraan EPL atau pun
memenangi sekurang-kurangnya satu trofi untuk memberi pulangan yang
berbaloi kepada kelab yang jarang berbelanja seperti ini.
Petanda awal seperti mula terbayang selepas menewaskan Tottenham
Hotspur 3-0, Ahad lalu dengan corak serangan pantas - kaedah yang
memberi hasil kepada barisan Brendan Rodgers muncul naib juara liga,
musim lalu. Cuma, pengkritik masih berhujah 'seorang pemain' membuat
perbezaan besar, musim lalu, iaitu Suarez.
Perkembangan musim membeli yang paling sibuk dan mahal di England
ini boleh menjadikan pentas saingan EPL lebih rancak kali ini dengan
penentuan kejuaraan mungkin menyamai musim lalu iaitu ditentukan pada
hari terakhir.
Cuma persoalannya, apakah United akan pantas berubah dan mengutip
tiga mata selepas kemarau kemenangan daripada empat perlawanan lalu,
termasuk kalah kepada MK Dons 4-0 dalam Piala Liga.
Tajam pada jentera serangan belum juga menjamin apa-apa untuk
United kerana kekuatan benteng pertahanan dan tengah masih satu
kepincangan. Ia seperti kerja segera meletakkan bumbung atas rumah tapi
tiang atau asas pembinaan belum kukuh lagi.
Van Gaal membawa masuk pertahanan Argentina, Marcos Rojo yang masih
berdepan masalah permit kerja untuk memantapkan benteng Devils manakala
pemain AS Roma, Kevin Strootman menjadi sasaran untuk Januari nanti.
Apa yang pasti pengkritik akan mengikuti setiap langkah United
selepas ini. Kita tunggu dan lihat apakah wang adalah segala-galanya.