KUALA LUMPUR: Fizikalnya jelas nampak sasa dan sekali pelakon dan
penyanyi ini memberi jelingan, pasti ada yang gerun. Namun dalam
hatinya, naluri kelelakiannya cepat tersentuh.
Pendek kata, beliau memang senang menangis. Itulah karektor
sebenar insan yang popular dengan panggilan Awie atau nama sebenarnya,
Azhar Othman .
Daripada sisi bergelar bapa, beliau yang kini berdepan dengan
masalah rumah tangga hingga perlu naik turun ke mahkamah, mengakui anak
menjadi keutamaannya kini. Kasih sayangnya terhadap lima anak yang kian
membesar membuatkan Awie semakin kuat.
"Saya tak boleh marah anak dan kalau saya begitu, saya akan
cepat mengalirkan air mata. Apa jadi pada waktu mendatang, saya akan
tetap pertahankan anak saya. Anak nyawa saya. Saya kerja keras mencari
rezeki ini demi mereka," kata Awie mengenai cinta hatinya iaitu Puteri
Aleeya Antasha, 14, Puteri Aleefa Antasha, 12, Putra Ahmad Merrah, 7,
Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie kini sedang sibuk dengan latihan teater SuperMokh Sebuah
Muzikal Restaging. Teater berkenaan dipentaskan semula di Panggung Sari
Istana Budaya mulai 8 hingga 21 September ini. Kali pertama ia
dipentaskan November tahun lalu juga di tempat yang sama.
Ketika ini, Awie juga mempunyai komitmen dengan filem Warna Cinta
Impian terbitan Touchtronics Entertaiment Sdn Bhd. Bagaimanapun, Awie
berehat seketika daripada penggambaran filem berkenaan demi teater
Supermokh.
Untuk teater ini, Awie terus diberi mandat memegang karakter
utama sebagai pemain bola sepak legenda, Allahyarham Datuk Mokhtar
Dahari. Malah Awie perlu terus menguruskan badan demi karakter itu.
"Selepas pementasan teater muzikal Suara Kita lagi saya sudah
berusaha jaga badan dengan menjaga pemakanan. Saya tak ke pusat gim
untuk bersenam apatah lagi angkat besi berat kerana itu akan membuatkan
badan saya mengembang pula," katanya.
Menurut Awie, asalnya beliau sudah menolak secara baik untuk
tidak lagi menerima mandat dalam teater ini. Katanya, beliau bimbang
masalah rumah tangganya yang menjadi kes makhamah akan menjejaskan
reputasi teater ini.
Bagaimanapun, Hans Isaac yang juga orang kuat kepada teater ini
yakni pemilik syarikat Tall Order Production Sdn Bhd, banyak memberi
semangat untuk Awie meneruskan kehidupan mendatang.
"Saya jadi berbelah bahagi pula. Tambah pula teater ini
dipentaskan semula atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris
Shah. Baginda mahukan saya yang pegang watak utama.
"Ini adalah peluang keemasan, apatah lagi beraksi dengan produksi
yang bagus. Bukan semua akan dapat peluang yang saya dapat ini. Jadi
kenapa perlu saya tolak.
"Cuma jauh di sudut hati atas kejayaan teater ini yang dulu,
terbit juga perasaan takut dan tertekan untuk mengembalikan kejayaan
yang sama kali ini. Dulu saya takut sebenarnya nak bawa watak legenda
bola sepak ini. Tapi kita doa yang terbaik dan perbaiki kelemahan dulu,"
katanya.
Pembabitan Awie di pentas teater tidak sia-sia kerana bakatnya
pernah diiktiraf untuk kategori Pelakon Utama Terbaik di Anugerah Seni
BOH Cameronian edisi kelapan dan kesembilan. Masing-masing untuk teater
Cuci The Musical dan Lat Kampung Buah sebuah Muzikal. Kedua-duanya juga
terbitan Tall Order Productions.
"Saya selesa berlakon bukan hanya kerana mereka kawan saya
semata-mata tetapi kerana jelas di sini saya juga mengutamakan hasil
kerja yang bagus serta tenaga produksi yang terbaik. Malah saya bukan
jenis yang pelakon yang dibayar untuk jadi robot.
"Tiada kepuasan dengan cara begitu. Saya bukan jenis ambil gaji
hujung bulan tanpa memberikan sumbangan untuk kebaikan bersama.
Bayangkan pementasan teater ini tahun lalu saya tak ada tandatangan
kontrak langsung. Malah bayaran pun sampai saya tak endah.
"Hingga Hans sendiri tanya saya tak nak gajikah? Dalam hal ini,
bab bayaran saya tolak ke tepi dan apa yang lebih utama ialah nikmat
serta kepuasan dalam melakukan kerja yang kita cintai. Malah Hans
sendiri terbuka dan menegur saya. Saya terima teguran ini untuk kebaikan
bersama. Hans juga terbuka dengan pandangan serta idea orang
sekeliling," kata Awie yang turut membantu Hans dan Harith Iskandar
melunaskan penggunaan bahasa Melayu dalam skrip.
Awie, di akhir temubual di kafe dekat Istana Budaya baru-baru
ini, berkata beliau akan bekerjasama menerbitkan sebuah filem di samping
Mamat Khalid. Judul sementara filem itu diberi nama Jejaka Gedik.
"Kami berdua akan berlakon sekali dalam filem ini. Asalnya nak
kasi judul Remaja 40-an. InsyaAllah kalau jadi, penggambaran dijangka
bermula hujung Oktober atau awal November," katanya.
Teater SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging akan dipentaskan
semula di Istana Budaya mulai 8 hingga 21 September ini untuk memberi
peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikannya tahun
lalu. Ia turut mendapat kerjasama Istana Budaya dan Jugra Publication
Sdn Bhd.
Selain Awie, teater diarahkan oleh Hans bersama Harith Iskander
itu turut membariskan pelakon seperti Maya Karin sebagai Datin Tengku
Zarina (isteri arwah), Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi
Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Kepada penonton yang ingin menyaksikan teater ini, tiket boleh
didapati di kaunter box office Istana Budaya atau menerusi atas talian
di Hyperlink
www.ticket2u.biz pada harga dari RM166 hingga RM306.