Tentera lebih selesa di Selayang

Kuala Lumpur: Kapten Tentera, Hairuddin Omar tampil mendedahkan suara hati rakan sepasukannya yang mahu aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Kelantan, 18 Oktober ini tetap dilangsungkan di Stadium Selayang, bukannya Stadium Shah Alam.

Menurut Hairuddin, andai perlawanan itu terus diadakan di Stadium Shah Alam, Tentera tidak akan mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, malah umpama beraksi kedua-dua perlawanan separuh akhir di gelanggang lawan.

“Dari perspektif pemain Tentera, kami tidak bersetuju dengan perubahan gelanggang ini kerana kami terpaksa berdepan ramai penyokong Kelantan untuk aksi pertama di Shah Alam (18 Oktober) dan juga pada aksi kedua di Kota Bharu (25 Oktober).


Mana-mana boleh gaduh

“Kenapa Tentera perlu memenuhi kehendak penyokong pelawat (Kelantan) yang ramai? Lihat saja Lions XII, stadium mereka pun kecil dan apabila bertemu pasukan lawan yang ramai penyokong sekali pun, mereka hanya beri peruntukan kecil bagi memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri tetap ada.

“Saya yakin Kelantan pasti tidak suka jika aksi pertama berlangsung di gelanggang keramat kami iaitu Stadium Selayang dan mereka pasti akan berasa lebih yakin beraksi di Stadium Shah Alam,” kata Hairuddin ketika dihubungi, semalam.

Tambah Hairuddin, andai soal keselamatan menjadi alasan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia mampu diatasi jika anggota keselamatan ditambah di Stadium Selayang.
“Kalau penyokong nak bergaduh, di stadium besar mana pun boleh berlaku. Jika main di Stadium Shah Alam, lagi ramai anggota keselamatan perlu diletakkan berbanding jika ditambah anggota keselamatan di Stadium Selayang.

“Tapi jika hendak meramaikan kehadiran penonton, bagi saya kenapa kami perlu memberi peluang kepada penyokong pasukan pelawat pula untuk datang lebih ramai ke gelanggang sendiri kami? Sudah tentu kelebihan beraksi di tempat sendiri tiada lagi,” jelas Hairuddin.