Jamalul Kiram III meninggal dunia

Jamalul Kiram III meninggal dunia 
 
 Pengikut mengusung jenazah Jamalul Kiram III (gambar kecil) untuk disembahyangkan di masjid bandar Taguig, selatan Filipina. - Foto AFP
 
Kota Kinabalu: Jamalul Kiram III yang mengaku Sultan Sulu dan menghantar kira-kira 200 pengikutnya menceroboh Sabah, Februari lalu, dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan organ, pagi semalam.

Jamalul, 75, abang kepada Agbimuddin Kiram, individu yang mengetuai kumpulan penceroboh melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Semporna dan Lahad Datu, awal Mac lalu, dilaporkan meninggal dunia di Pusat Jantung Filipina jam 4.42 pagi.

Laporan media Filipina menyebut, perkara itu disahkan anak perempuannya, Jacel Kiram.


Pengikut ceroboh Sabah


Pada 9 Februari lalu, kira-kira 200 penceroboh bersenjata yang juga pengikut Jamalul Kiram III dipimpin Agbimuddin, mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu bagi membuat tuntutan ke atas Sabah.

Berikutan itu, kerajaan berunding dengan kumpulan berkenaan supaya meninggalkan Sabah tanpa pertumpahan darah, namun mereka bertindak ganas menyerang anggota keselamatan menyebabkan kerajaan melancarkan Ops Daulat pada 6 Mac lalu.

Dalam insiden itu, seramai 10 anggota keselamatan terbunuh di Lahad Datu dan Semporna, manakala 72 pengganas mati dan lima cedera selain 30 didakwa atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta menjadi anggota pengganas.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) berharap tiada lagi tuntutan ‘Sultan Sulu’ ke atas negeri ini pada masa depan susulan kematian Jamalul Kiram III.

Henti usaha sia-sia

Setiausaha MPSS, Mohd Zaki Harry Susanto, berkata pengikut Jamalul Kiram III juga diharap menghentikan usaha sia-sia itu kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963 dan masyarakat Suluk di negeri ini juga tidak pernah berhasrat bersultankan ‘Sultan Sulu’.

“Justeru, dengan pemergiannya, ia mampu memadamkan ideologi songsang keluarga Kiram yang hanya memburukkan nama baik masyarakat Suluk di Sabah. Kami juga merakamkan takziah kepada keluarganya,” katanya.