PRODUSER Datuk Yusof Haslam benar-benar geram terhadap angkara yang menimpa filem KL Gangster 2 arahan
anaknya, Syamsul yang belum masuk pawagam, tetapi lebih dahulu bocor
dalam internet, kemudian dicetak rompak dalam bentuk video cakera padat
(VCD).
''Perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab mengkhianati usaha kreatif anak Melayu, jadi sekarang masanya untuk KL Gangster 2 isytihar perang dengan lanun cetak rompak,'' kata Yusof penuh serius.
Jelasnya, antara langkah untuk memerangi lanun cetak rompak itu ialah
meminta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
mempercepatkan hasil siasatan punca asal bagaimana filem KL Gangster 2 itu boleh bocor ke dalam internet.
''Aduan telah dibuat kepada SKMM. Agensi itu mempunyai kepakaran untuk mengesan bermula kebocoran filem KL Gangster 2 ke dalam internet, siapa punya kerja?
''Proses penghasilan filem memang dikawal rapi oleh pengarah dan
mereka yang terlibat secara langsung dengan pembikinan sebelum
diserahkan kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk kelulusan,''
jelasnya.
Menurutnya, bagi salinan asal filem yang disimpan di pejabat adalah
dalam bentuk digital, lazimnya sukar untuk bocor, melainkan disabotaj
pihak tidak bertanggungjawab.
''Selepas aduan dibuat kepada pihak berkuasa dalam kes ini, saya harap punca kebocoran dalam internet dan cetak rompak filem KL Gangster 2 akan dapat diketahui segera untuk tindakan mengikut proses undang-undang,'' katanya.
Selain itu kata Yusof, pihaknya juga memerlukan kerjasama Penguat
Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) agar dapat membanteras penjualan VCD cetak rompak hasil kreatif
filem tempatan.
''Satu lagi tindakan ialah saya sebagai Presiden Persatuan Pengeluar
Filem Malaysia akan turut memanggil lain-lain persatuan berkaitan untuk
mengadakan seminar mengenai ancaman lanun cetak rompak terhadap industri
perfileman tanah air.
''Resolusi daripada seminar itu nanti kita akan kemukakan kepada
kerajaan untuk tindakan lebih berkesan bagi membela nasib pengusaha
filem yang membayar cukai tetapi dianiayai lanun cetak rompak,''
katanya.
Tegas Yusof, syarikatnya Skop Productions Sdn. Bhd. sudah berhempas pulas untuk menghasilkan KL Gangster 2 dengan kos RM4.5 juta, tetapi lanun cetak rompak senang-senang merompak buat duit cara mudah.
''VCD cetak rompak yang sudah dijual dan muat turun dalam internet
internet itu, rakamannya tidak berkualiti dan kena tengok yang asli di
pawagam untuk kepuasan,'' katanya dalam temu ramah di pejabatnya di
Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Yusof juga berharap penonton akan terus menghargai KL Gangster 2 di pawagam. Sejak sesi tayangan perdana dan tayangan umum bermula 3 Oktober lalu, KL Gangster
2 mencatat kutipan membanggakan, melebih RM700,000. Ini satu catatan
membanggakan meskipun filem terbabit berhadapan dengan pelbagai masalah
kesan daripada plagiat pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum ini.