KOTA BHARU 6 Okt. - Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak
menjangkakan perlawanan seimbang ketika pertemuan mereka menentang
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan separuh akhir pertama
Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 18 Oktober
ini.
"Peluang untuk menang ialah 50:50. Dalam pertemuan kami dengan mereka
sebelum ini, kadang-kadang kami menang, kadang-kadang mereka menang.
Kesalahan kecil boleh menentukan keputusannya kelak.
"Ia merupakan perlawanan sengit, tetapi kami akan bersedia," katanya.
Kelantan selaku juara bertahan layak ke separuh akhir setelah
mengalahkan Johor Darul Takzim (JDT) 6-1 dalam suku akhir kedua malam
tadi untuk menjadikan agregat 8-5.
Pada masa yang sama beliau mengharapkan Shakir Shaari dan Nik Shahrul
Azim Abdul Halim pulih dari kecederaan menjelang perlawanan dengan ATM.
Hodak menyifatkan ATM lebih baik daripada Johor DT dan lebih yakin selepas pernah mengalahkan Lions XII sebelum ini.
Beliau berkata tumpuan perlu diberikan kepada penyerang ATM Marlon Alex James yang kini berada pada tahap terbaiknya. - BERNAMA