Kuantan: Operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan
akan dilancarkan tidak lama lagi bagi membanteras kegiatan cetak rompak
di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, berkata mesyuarat bersama agensi terbabit itu bakal diadakan dalam masa terdekat bagi memudahkan proses pengagihan tugas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, berkata mesyuarat bersama agensi terbabit itu bakal diadakan dalam masa terdekat bagi memudahkan proses pengagihan tugas.
“Mesyuarat itu nanti akan dipengerusikan saya sendiri dan kita akan
meminta kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Komunikasi dan
Multimedia untuk turut serta operasi nanti.
“Berdasarkan kejayaan Ops Cantas dilancarkan PDRM... kita akan guna pendekatan sama dan operasi seperti ini pernah dilancarkan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang portfolio di kementerian ini dan ia terbukti berjaya melumpuhkan kegiatan sedemikian,” katanya pada sidang media selepas Program Sembang Koperasi anjuran KPDNKK, di sini, semalam.
Penggiat seni rugi
Program itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin.
Hasan berkata, isu itu perlu diselesaikan segera kerana membabitkan hak cipta karya penggiat seni tempatan hingga mengakibatkan mereka mengalami kerugian akibat kegiatan haram itu.
Diminta mengulas mengenai ancaman keselamatan terhadap anggota penguat kuasa kementeriannya, Hasan berkata, perkara itu memang berlaku dan setakat ini pegawai dan anggotanya sentiasa bersiap sedia.
“Saya yakin mereka cukup bersedia berdepan ancaman keselamatan seperti ugutan dan pelbagai lagi. Jika operasi dapat dilakukan secara tersusun dan mendapat kerjasama daripada semua agensi penguat kuasa lain, saya percaya masalah ini boleh diatasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu pihaknya membanteras kegiatan cetak rompak dengan memboikot produk seperti video cakera padat digital (DVD) tiruan.