Ayer Hitam: Keputusan melaksanakan pengurangan subsidi tepung dan gula, bergantung kepada hasil kajian yang sedang dijalankan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek, berkata apa juga keputusan diambil adalah bagi menjaga kestabilan ekonomi negara di samping kesejahteraan hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek, berkata apa juga keputusan diambil adalah bagi menjaga kestabilan ekonomi negara di samping kesejahteraan hidup rakyat.
Katanya, pelbagai faktor diambil kira sebelum sebarang keputusan
diambil termasuk fiskal serta kedudukan mata wang negara dan paling
utama kebajikan rakyat serta akan dilaksanakan jika dapat mengukuhkan
ekonomi negara.
Jaga kestabilan ekonomi
“Sungguhpun keputusan diambil mungkin tidak popular, namun ia terpaksa dibuat bagi menjaga kestabilan ekonomi serta kesejahteraan hidup rakyat,” katanya selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di sini, semalam.
Hasan berkata, niat kerajaan hanyalah untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat perlu menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.
Sementara itu, Hasan berkata, 101 KR1M sudah beroperasi di seluruh negara dengan 40 premis baru akan dibuka menjelang akhir tahun ini dan kementerian komited memastikan setiap kawasan Parlimen mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kemudahan kedai itu.
Hasan turut menafi dakwaan dan persepsi sesetengah pihak kononnya produk KR1M sebagai tidak berkualiti serta membahayakan pengguna, sebaliknya menegaskan semua mendapat pengesahan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
“Sebanyak 397 produk dipasarkan KR1M termasuk 360 produk makanan, selain produk kosmetik dan kualitinya setanding produk luar, malah menjalani pengawasan ketat Kementerian Kesihatan,” katanya.
Terdahulu ketika program Sembang Pagi Koperasi di Pagoh, Hasan berkata, pihaknya menyasarkan semua koperasi di negara ini dapat menyumbang lebih RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.
Katanya, sehingga 31 Ogos lalu bilangan koperasi didaftarkan dengan kementerian berkenaan berjumlah 10,713 dengan anggota seramai 7.57 juta berbanding 6,084 koperasi pada 2008.
Beliau yakin sasaran itu dapat dilaksanakan kerana ia disokong jumlah saham dan modal anggota koperasi sebanyak RM12.50 bilion, selain jumlah aset RM106.9 bilion yang dimiliki setakat ini.