Hai-O anggap ia kemenangan moral untuk Tentera temu Kelantan
Kuala Lumpur: Kapten Tentera, Hairuddin Omar menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan permohonan pertukaran semula gelanggang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Kelantan, Jumaat ini ke Stadium Selayang mampu memberikan semangat tambahan kepada dirinya serta rakan sepasukan lain.
Isu pertukaran gelanggang itu berlarutan hampir seminggu sejak FAM, Isnin lalu meluluskan permohonan awal Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) untuk menukar gelanggang ke Stadium Shah Alam tetapi tindakan itu tidak ‘direstui’ pemain Tentera diketuai Hairuddin.

“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat beraksi semula di gelanggang
sendiri kami iaitu Stadium Selayang. Saya pasti ia akan menjadi semangat
tambahan buat semua pemain Tentera untuk memberikan persembahan yang
lebih baik, Jumaat ini.
“Tapi sebenarnya fokus kami sepanjang isu ini berlarutan tidak terganggu kerana kami tetap bersedia untuk bermain di mana-mana stadium. Cuma harapan kami supaya ia berlangsung di Stadium Selayang,” kata Hairuddin ketika dihubungi, malam tadi.
Tiada tekanan
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah mengumumkan pertukaran semula gelanggang ke Stadium Selayang itu pada satu sidang media di Kota Bharu, petang semalam selepas pihaknya meneliti permohonan baru daripada PBAT itu, kelmarin.
Ditanya adakah penukaran semula gelanggang itu bakal memberi tekanan kepada pemain Tentera kerana mereka sendiri seakan tidak senada dengan hasrat awal PBAT untuk aksi dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Hairuddin menganggap tiada masalah.
“Tak timbul sebarang tekanan. Malah kami tak terlalu mahu memikirkan sangat masalah ini. Tapi bagi kami, beraksi di Stadium Selayang lebih membuatkan kami bersemangat dan harap kami mampu beri yang terbaik pada perlawanan itu nanti,” jelas Hairuddin.
Apa pun Tentera perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang keramat mereka itu, Jumaat ini untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 25 Oktober ini bagi aksi separuh akhir kedua.