Penerbitan filem animasi 3D, Hugo bernilai RM32 juta dan hak pengedaran
antarabangsa filem pecah panggung, Istanbul Aku Datang adalah antara 13
perjanjian bernilai lebih RM150 juta dimeterai pembekal kandungan
Malaysia dan rakan global pada pasaran industri kandungan terbesar
dunia, MIPCOM 2013 di sini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perjanjian yang dimeterai syarikat kandungan tempatan dan rakan kongsi antarabangsa membuktikan komitmen negara dalam membangunkan harta intelek bertaraf global.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perjanjian yang dimeterai syarikat kandungan tempatan dan rakan kongsi antarabangsa membuktikan komitmen negara dalam membangunkan harta intelek bertaraf global.
“Kali ini, Malaysia menghantar delegasi terbesar dengan lebih 60
syarikat tempatan menyertai pasaran kandungan paling berjaya ini.
Catat pulangan RM12b
“Industri kandungan kreatif negara juga makin membangun, malah kita mencatat pulangan lebih RM12 bilion sepanjang tahun lalu,” katanya ketika merasmikan majlis Resepsi Agenda Jaringan Kreatif Malaysia pada MIPCOM 2013 di sini, kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Komunikasi Singapura, Dr Yaacob Ibrahim; Presiden Reed MIDEM, Paul Zilk; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dan Pengerusi FINAS, Datuk Md Afendi Hamdan.
Pada majlis itu, Ahmad Shabery menyaksikan majlis pertukaran 13 dokumen perjanjian antara pembekal kandungan tempatan dan rakan kongsi antarabangsa dari Kanada, Afrika Selatan, Finland, Venezuela, Jerman, Denmark dan Hong Kong.
Antara syarikat tempatan yang memeterai perjanjian itu adalah Worldwide Rights Corporation dengan Latin Media dari Venezuela yang akan membangunkan akademi animasi bagi melatih dan membekal peralatan termasuk perisian, selain menerbitkan tiga projek animasi secara bersama.
Tayang di 10 negara
Primeworks Studio dan syarikat Hong Kong, Lightning International menandatangani perjanjian hak pengedaran antarabangsa bagi filem terbitannya iaitu KIL, Sembunyi dan Istanbul Aku Datang.
Syarikat Malaysia, Anima Point akan bekerjasama dengan rakan kongsi dari Jerman, Trixter yang menghasilkan kesan khas filem Hollywood, Iron Man 3 bagi menerbitkan filem Hugo bersama dua lagi syarikat, Anima Vitae dari Finland dan Einstein Film (Denmark).
Ahmad Shabery berkata, industri kreatif negara juga mencatat kejayaan membanggakan tahun ini apabila syarikat tempatan, KRU Studios menerbitkan filem cereka, Vikingdom: The Blood Eclipse yang akan ditayangkan di 10 negara.
BoBoi Boy di Cannes
“Penyanyi tempatan Yuna pula muncul dalam permainan video popular, Grand Theft Auto 5 dengan lagunya, Live Your Life menjadi sebahagian album runut bunyi dengan lebih 15 juta unit terjual pada minggu pertama dilancarkan,” katanya.
Beliau berkata, pada MIPCOM Junior baru-baru ini, 12 judul kreatif tempatan seperti BoBoi Boy, Origanimals, Super Squad, Rimba Racer dan Chuck Chicken ditayangkan kepada peserta termasuk pembeli dalam pasaran kandungan terbesar ini.