KELANA JAYA: Pengendali skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee mahu masalah
membabitkan kontrak pemain dapat diselesaikan sebelum akhir bulan ini
supaya persiapan anak buahnya untuk mempertahan pingat emas di Sukan SEA
Myanmar pada Disember, tidak terjejas.
Beliau berharap pemainnya tidak diganggu selepas mereka membuat keputusaan mengenai kontrak itu.
"Saya tidak mahu mereka (pemain) hilang fokus disebabkan perkara ini.
Oleh itu, kita memberi peluang kepada beberapa pemain untuk membuat
keputusaan sama ada ingin kekal bersama Harimau Muda A atau sebaliknya
demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa persatuan dan kelab bola sepak tempatan
menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain skuad bawah 23 tahun
negara itu berikutan prestasi baik mereka dalam beberapa kejohanan,
selain mereka turut didedahkan dengan latihan dan perlawanan
persahabatan di Eropah dalam tempoh yang panjang.
Kim Swee berharap enam pemain yang diberi peluang oleh Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada ingin terus kekal bersama skuad
Harimau Muda A atau sebaliknya, tidak tertekan dalam persiapan mereka
menghadapi temasya di Myanmar.
"Setiap pemain diberitahu dari awal tentang apa yang perlu
diutamakan dan apa objektif mereka berada dalam pasukan Harimau Muda.
Saya fikir mereka tahu apa keputusaan dan perkara yang perlu diberi
keutamaan," kata jurulatih itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata enam pemain
yang diberi pilihan oleh badan induk itu ialah ketua pasukan Mohd Irfan
Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd
Izham Tarmizi Roslan, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.
Beliau berkata, tiga pemain iaitu Izzaq Faris Ramlan, Muhammad
Syahid Zaidon dan Muhamad Hazwan Rahman pula tidak dilanjut kontrak
bersama Harimau Muda A kerana sudah melebihi 23 tahun.
"Walaupun pemain ini tamat kontrak atau memilih menamatkan kontrak,
jika ada keperluan, FAM akan mempertimbang memanggil kembali mereka
untuk mewakili negara ke cabaran Piala Asia di Australia pada 2015,"
katanya.
Hamidin berkata, FAM juga memperbaharui kontrak 17 pemain iaitu Mohd
Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Mohamad Fandi Othman, R Gary Steven,
Mohammad Amer Saidin, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan D
Saarvindran.
Pemain lain ialah Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Muhammad Nurridzuan Abu
Hassan, Saiful Ridzuwan Selamat, Syahrul Azwari Ibrahim, Shahrul Mohd
Saad, Mohd Farhan Abu Bakar, D Kenny Pallraj, Mohamad Firdaus Muhamad,
Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Adam
Nor Azllin.
Dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata skuad Harimau Muda A akan
diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan persiapan
mereka sebelum beraksi di Myanmar.
"Kita akan adakan empat perlawanan persahabatan semasa menjalani
latihan di luar negara iaitu di Amman, Jordan pada awal November
membabitkan dua perlawanan bersama pasukan kelab Jordan dan dua
perlawanan menentang pasukan bawah 23 tahun Jordan," katanya.
Beliau berkata, sekembali ke tanah air pada 21 November, anak
buahnya akan diuji menerusi dua perlawanan persahabatan berdepan kelab
Divisyen Tiga Jepun, Ryukyu FC selain satu lagi perlawanan yang belum
ditentukan.
Kim Swee berkata bagi mengisi kekosongan dalam skuad Harimau Muda A,
beliau akan melakukan pemilihan dalam kalangan pemain muda dalam skuad
Harimau Muda B dan C.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata beliau belum membuat keputusan
berhubung kontraknya bersama FAM yang bakal berakhir Disember kerana
memberi tumpuan membimbing pasukan Harimau Muda A menghadapi Sukan SEA
Myanmar.
"Saya akan fikir tentang kontrak bila balik dari Myanmar," katanya.