Kelantan tetap dihantui kebimbangan

Kelantan tetap dihantui kebimbangan  
Dua pertahanan Tentera cuba menghalang kemaraan ‘ayam tambatan’ Kelantan, Dickson Nwakaeme (kiri) pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, Jumaat lalu.
 
Kota Bharu: Walaupun memiliki kelebihan gol dan aksi di laman sendiri, tetapi kebimbangan tetap menghantui Kelantan menjelang perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.

Ia disuarakan sendiri Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, yang percaya The Gladiators mampu membuatkan The Red Warriors (TRW) kempunan dan menangis seandainya pemain tidak memberi fokus 101 peratus dalam perlawanan hidup mati itu.
“Saya mengingatkan kepada pemain, jika ada pasukan yang mampu menewaskan TRW, ia adalah Tentera. Tentera adalah pasukan yang kuat dan kita bernasib baik apabila berjaya mengatasi mereka pada separuh akhir pertama.


“Namun, kita harus ingat dengan kekalahan itu tidak bermakna Tentera tidak boleh menewaskan Kelantan di sini (Kota Bharu). Kita juga harus ingat anak buah B Sathianathan menjadi pasukan yang berjaya meleburkan rekod tanpa kalah kita di gelanggang sendiri musim ini.


Spekulasi tak jejas

“Jadi, saya harap seluruh pasukan melakukan persediaan rapi bagi menghadapi perlawanan itu dan lebih berwaspada dengan apa saja cabaran. Saya percaya Tentera akan melakukan banyak perubahan dari aspek permainan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Annuar yang dianggap sebagai bapa pembangunan bola sepak Kelantan bagaimanapun tidak menafikan hakikat betapa TRW kini berada pada landasan yang tepat untuk mengekalkan piala berprestij itu dan menyerahkan kepada pemain untuk melakukan yang terbaik.

Katanya, dia juga bersyukur kerana pelbagai spekulasi perpindahan beberapa tonggak Kelantan ke pasukan lain musim depan tidak sedikit pun mengganggu fokus pemain menghadapi perlawanan genting di Stadium Selayang.

“Walaupun terpaksa berhempas pulas untuk melepasi saingan di peringkat ‘kumpulan maut’ dan suku akhir, tetapi saya akui peluang kita untuk mara ke final dan mempertahankan kejuaraan cerah.

“Namun, segala-galanya kini terpulang kepada pemain dan satu kerugian sekiranya kita tidak mampu menjadi juara buat kali kedua berturut-turut,” katanya