IDA Nerina bukan satu nama asing dalam industri
seni tempatan malahan nama besar dalam industri ini. Namun kebelakangan
ini kelibat artis ini jarang sekali tampil di layar perak mahupun di
kaca televisyen semenjak insiden tragis yang berlaku kepada dirinya.
Hari ini, Ida nampaknya lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir.
Pun begitu. Afdlin Shauki selaku penerbit dan pencetus idea program Liga Lawak Superstar (LLS) berjaya memujuk Ida untuk menjadi juri bersama Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli.
"Untuk dapatkan Ida bukan satu perkara yang senang tambahan pula dia
sedang sibuk mengurus dan mengarahkan beberapa filem sekarang.
"Kita tahu dengan keadaan dirinya, jadi saya pujuk dia
perlahan-lahan. Sebenarnya dia memang tidak mahu lagi muncul di kaca
televisyen. Alhamdulillah... walaupun memakan masa, Ida terima
permintaan saya.
"Saya sebenarnya cukup senang bekerja dengan Ida malah untuk projek
ini dia juga tidak mengenakan apa-apa syarat kepada saya," jelasnya.
Bukan program seperti sedia ada
DITANYA mengenai kelebihan program LLS berbanding program-program lawak sedia ada jelas Afdlin:
"Peserta program ini dipilih daripada kalangan pelakon yang biasa
kita lihat di kaca televisyen. Mereka juga merupakan antara
pelakon-pelakon kegemaran ramai.
"Kebiasaannya kita lihat mereka berlakon namun kali ini mereka
menghiburkan audiens dengan melawak. Pendekatan ini memang tidak pernah
dilakukan oleh mana-mana stesen televisyen sebelum ini."
LLS menampilkan lapan kumpulan yang terdiri daripada 16 selebriti
terkenal tanah air bakal berentap bagi merebut wang ganjaran berjumlah
RM250,000.
"Peserta akan dibahagikan kepada pasukan A dan B dengan setiap episod
mempunyai lima segmen menyaksikan pelakon melakukan tugasan lawak yang
berat secara spontan," ujar Afdlin.
Mereka yang bakal mempamerkan aksi spontan dalam program berkonsepkan
sarkas ini terdiri daripada kumpulan Asmara Luna yang diwakili Riezman
Khuzaimi dan Aidil Aziz, Aku (Idzham Ismail dan Hairi Safwan), Aku
Diandra (Sheera Iskandar dan Qazem Nor), Ayoub Lasak (Iqram Dinzly dan
Mikael Andre), Apa Kasih Toq (Kamal Adli dan Fizz Fairuz), Derhaka
Seorang Sinderella (Amyza Aznan dan Aman Nassim), Spy Kampung (Zalif
Sidek dan Syafiq Kyle) dan OMG (Anas Ridzuan dan Akim Ahmad).
Para pelawak tempatan juga dipilih untuk memberi panduan serta tunjuk
ajar kepada peserta dan kumpulan Asmara Luna memilih Ropie, Aku (Bell
Ngasri), Aku Diandra (Ilya), Ayoub Lasak (Aziz M. Osman), Apa Kasih Toq
(Didie Alias), Derhaka Seorang Sinderella (Hamdan), Spy Kampung (Farouk
Hussain) dan OMG (Sathiya).