Biarpun gagal meraih sebarang kejuaraan, pencapaian musim pertama skuad Harimau Selatan pada saingan Liga M nyata membanggakan selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga dan muncul naib juara Piala FA serta layak beraksi pada pentas suku akhir Piala Malaysia.
Walaupun belum ada pengesahan daripada PBNJ berhubung senarai pemain yang tidak akan bersama Johor DT pada musim depan namun difahamkan hanya sembilan pemain skuad Harimau Selatan dikekalkan dan beberapa pemain lagi bakal diserap dalam skuad Johor pada saingan Liga Perdana.
Difahamkan antara pemain yang bakal dikekalkan adalah penjaga gol, Muhammad Al-Hafiz Hamzah, Nurul Azwan Roya, Norshahrul Idlan Talaha, Jasazrin Jamaluddin, Mohd Akram Mahinan, Mohd Hadin Azman, Mohd Nazri Ahmad, kapten Aidil Zafuan Abd Radzak dan Safiq Rahim.
Manakala pemain pertahanan, Mohd Farid Ramli, Ahmad Tharmimi Saiban, Mohd Tuah Iskandar, Irfan Abd Ghani dan beberapa pemain lain dikhabarkan akan beraksi bersama skuad Merah Biru pada aksi Liga Perdana. Muslim Ahmad yang sering memanaskan bangku simpanan tampak diketepikan.