KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan melangkah bergaya ke separuh
akhir Piala Malaysia, semalam selepas mengamuk di Stadium Sultan
Muhammad Ke IV dengan membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 6-1 pada
suku akhir kedua bagi melayakkan diri secara agregat 8-5.
Turut mengiringi Kelantan adalah juara Liga Perdana, Sarawak yang
mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Sime Darby di Stadium Negeri, Kuching
bagi menempah pertemuan dengan Pahang sementara Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) akan menjadi lawan Red Warriors dalam satu lagi saingan
separuh akhir.
Walaupun tumbang 2-4 di Larkin pada suku akhir pertama yang lalu,
Red Warriors membuktikan Kota Bharu adalah gelanggang keramat buat
mereka apabila langsung tidak memberikan sebarang ruang kepada Johor DT
untuk bernafas selepas melancarkan serangan bertalu-talu sejak awal
permainan.
Skuad kendalian Bojan Hodak memulakan kenduri gol mereka melalui
pemain sayap, Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke 19 hasil rembatan
deras yang mengenai palang sebelum melantun masuk ke penjuru kanan
gawang Harimau Selatan yang dikawal oleh penjaga gol pilihan kedua,
Zulfadli Mohamed.
Dua belas minit kemudian, ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi
menggandakan kelebihan buat tuan rumah ekoran kegagalan bek kanan Johor
DT, Nazri Ahmad yang gagal menanduk keluar bola dari kawasan penalti
sebelum dia melepaskan rembatan voli dari jarak dekat berhampiran pintu
gol Johor DT.
Penyerang kebangsaan, Safee Sali memberikan harapan kepada pasukan
JDT apabila berjaya menyumbat gol pada minit ke 41 namun ia gagal
membangkitkan semangat pasukannya apabila hanya empat minit selepas itu,
Obinna Nwaneri pula yang berjaya merobek gol pelawat sebelum babak
pertama berakhir.
Permulaan separuh masa kedua kekal dengan skrip sama apabila
Kelantan terus bernafsu dan berjaya memperoleh gol keempat, satu minit
selepas sepak mula melalui tandukan Nwakame hasil hantaran Indra Putra
dan Norfarhan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan
Johor DT apabila menambah jaringan tuan rumah pada minit ke-62.
Indra Putra Mahayuddin juga tidak ketinggalan berada dalam senarai
penjaring apabila melengkapkan malam yang cukup indah buat semua
penyokong Kelantan pada minit ke 88 manakala Harimau Selatan balik ke
Johor Bahru dalam keadaan cukup terluka.
Pemain import dari Bosnia, Muamer Salibasic, meledak jaringan hatrik
bagi membantu Sarawak yang bangkit daripada ketinggalan apabila Sime
Darby terlebih dahulu memimpin perlawanan melalui jaringan Mohd. Asrol
Ibrahim pada minit ke-3.
Bujang Senang bagaimanapun tidak tertekan walaupun pelawat terlebih
dahulu mendapatkan gol di tempat lawan, sebaliknya Salibasic ada formula
tersendiri bagi mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-27 dan
meletakkan Sarawak di hadapan buat kali pertama pada minit ke-55
berpunca daripada situasi sepakan percuma.
Salibasic akhirnya memastikan tiket separuh akhir menjadi milik
Sarawak apabila lima minit sebelum permainan tamat, hasil gerakan dengan
Booby Gonzales, dia merakamkan jaringan hatrik dengan penuh bergaya
sekali gus membuatkan kira-kira 30,000 penonton setia Bujang Senang
pulang dengan gembira.