Shah Alam: Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) gagal dalam
tuntutan saman malu RM1 juta terhadap bekas pegawai Institut Latihan
Islam Malaysia (ILIM) kerana mendakwa mengaitkannya dengan fahaman
Wahabi dalam satu laman blog.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Halijah Abbas, menolak saman Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah UKM, Dr Azwira Abdul Aziz, 45 selepas mendapati dia gagal membuktikan elemen fitnah dalam artikel ditulis Zamihan Mat Zin.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Halijah Abbas, menolak saman Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah UKM, Dr Azwira Abdul Aziz, 45 selepas mendapati dia gagal membuktikan elemen fitnah dalam artikel ditulis Zamihan Mat Zin.
Halijah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000.
Zamihan kini bertugas sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam
Negeri (KDN).
Azwira yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis menyaman Zamihan pada 18 Jun 2009 dengan menuntut ganti rugi RM1 juta selepas mendakwa defendan menerbitkan artikel fitnah dalam laman blog, www.al-ghari.blogspot.com yang mengaitkannya dengan fahaman Wahabi.
Artikel unsur fitnah
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif berkata, defendan menerbitkan artikel bertajuk ‘Kisah Lama dari UKM’ di blog itu pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah.
Beliau berkata, perkataan dalam artikel itu antara lain bermaksud dia berfahaman Salafi Al Wahhabi yang amat taksub dan membawa ajaran sesat, yang menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya masyarakat Islam.
Plaintif berkata, walaupun beliau sudah mengemukakan surat kepada defendan melalui peguamnya pada 11 Mei lalu bagi menuntut permohonan maaf bertulis dan ganti rugi RM500,000, defendan masih enggan berbuat demikian.
Azwira diwakili peguam Adnan Seman, manakala Azmi Mohd Rais bertindak bagi pihak Zamihan.