• =>

'Ops bedil' Kelantan

'Ops bedil' Kelantan 
 
Hai-O yakin impian Tentera ke final 3 November tetap menyala

Kuala Lumpur: ‘Ops benam Kelantan’ - Itulah misi Tentera menjelang perhitungan hidup mati menentang The Red Warriors (TRW) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Bagi ketua pasukan Tentera, Hairuddin Omar atau Hai-O, peluang The Gladiator untuk ke final masih belum tertutup kerana dalam aksi separuh akhir tidak ada pasukan pilihan dan kedua-dua pasukan memiliki peluang sama rata.

Sehubungan itu, katanya rakan sepasukan harus memanfaatkan baki 90 minit perlawanan bagi meranapkan impian TRW yang berkelebihan dengan kemenangan 2-1 pada pertemuan pertama di Stadium Selayang, Jumaat lalu, untuk ke final.


“Seluruh pasukan lebih bersemangat untuk turun beraksi dan kami tidak akan mudah menyerah kalah. Baki 90 minit harus dipergunakan dan kami akan bermain bermati-matian sehingga wisel penamat.

“Misi kami ialah membenam Kelantan kerana bagi kami apabila sampai di peringkat separuh akhir, tidak ada pasukan pilihan dan kedua-dua pasukan memiliki peluang sama rata.

“Sememangnya semua pemain harus tampil dengan semangat dan mental yang kuat bagi memberikan aksi lebih yakin di depan puluhan ribu penyokong lawan,” katanya semalam.

Hai-O turut bersetuju dengan pengendali pasukan, B Sathianathan yang menuntut pemain supaya berwaspada dengan kelibat empat pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme, Mohd Norfarhan Mohamad, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badhri Radzi.

Dalam masa sama, Hai-O percaya The Gladiator memiliki kelebihan berbanding Kelantan dan yakin pemain berpengalaman seperti Shukor Adan mampu memberi rangsangan buat pemain muda lain untuk tampil lebih cemerlang.

“Sememangnya Tentera dibarisi ramai pemain berpengalaman. Dengan kehadiran pemain ini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu pemain muda untuk mengatasi rasa gementar ketika beraksi di pentas tertinggi terutama di depan penyokong lawan,” katanya.

Mangsa peluru sesat: Budak 'Rambo' curi perhatian

Mangsa peluru sesat: Budak 'Rambo' curi perhatian  
Mohd Amar ditemani ibunya keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.
Ramai hairan melihat Mohd Amar berjalan seperti biasa keluar hospital

Ipoh: Budak ‘Rambo’ yang selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru sesat tersangkut pada kerongkongnya Ahad lalu, masih mampu tersenyum sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Kelibat Mohd Amar Mohd Azizi, 10, yang berjalan seperti biasa meninggalkan hospital itu sambil ditemani keluarganya jam 12.30 tengah hari, cukup menghairankan mereka yang melihatnya, berbanding kejadian menimpanya pada 14 Oktober lalu yang dianggap satu keajaiban apabila peluru itu menembusi hidung sebelum tersangkut di saluran kerongkongnya.

Beliau yang ditemui dengan kesan jahitan jelas kelihatan menutup lubang peluru menembusi hidungnya, mengakui sedikitpun tidak berasa sakit selepas menjalani pembedahan berisiko tinggi yang dilakukan sekumpulan pakar HRPB.


“Tidak sakit sekarang. Masa kejadian dulu juga saya terus berdiri tetapi menggeletar sedikit selepas muka berasa berdenyut sebelum terpaksa menadah darah yang banyak keluar,” katanya yang mengakui hero dalam filem Rambo sebagai idolanya dan selain bercita-cita menjadi perajurit.


Ditemani ibu, bapa

Mohd Amar meninggalkan hospital ditemani ibu bapanya, Mohd Azizi Abdullah Halim dan Salina Mohd Nor, yang masing-masing berusia 48 tahun serta kakaknya, Nur Aqilah, 22.

Dua pegawai perubatan iaitu Dr Alex Khoo dan Dr Khairun Mohd Mispan yang memantau keadaannya sempat mengucapkan selamat tinggal serta bersalaman apabila terserempak dengannya di pekarangan HRPB.

Mohd Amar terkena peluru sesat daripada pistol seorang anggota polis berpangkat Sarjan ketika mengosongkan pistol automatik jenis P99 Wal-ther di tangga depan rumah mentuanya di Kampung Belanja Kiri, di Parit.

Anggota terbabit dikatakan tertekan picu lalu peluru menembusi hidung sehingga kerongkong Mohd Amar yang kebetulan melalui jalan di hadapan rumah mentua suspek dari jarak 40 meter.

Mohd Amar yang terpaksa memakai alat penyokong leher hingga membataskan pergerakannya bahagian atas bahunya berkata, selepas kejadian, dia masih mampu berjalan ke rumah saudaranya sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, anaknya perlukan rawatan susulan di HRPB.

Syukur semua selamat

“Saya bersyukur semuanya selamat. Saya mengucapkan terima kasih kepada doktor dan kakitangan hospital yang membantu merawat anak saya dan begitu juga kepada pihak media,” katanya.

Beliau mengakui ada pegawai Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil kenyataannya berhubung kejadian itu beberapa hari lalu.

Katanya, isteri dan keluarga isteri anggota polis berkenaan turut melawat anaknya di HRPB termasuk meminta maaf atas kejadian yang berlaku.

“Saya memaafkan individu yang terbabit dalam kes ini tetapi dari segi undang-undang, saya serahkan kepada pihak polis untuk menentukannya,” katanya.

Najib menghadap Agong mohon perkenan bentang Bajet 2014

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini, pagi ini bagi memohon perkenan Seri Paduka untuk beliau membentangkan Bajet 2014.

Najib yang juga Menteri Kewangan tiba pada jam 8.18 pagi untuk menghadap Tuanku Abdul Halim bagi mempersembahkan buku belanjawan negara itu sebelum beliau membentangkannya di Dewan Rakyat, 4 petang ini.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam bersama Seri Paduka sebelum dilihat keluar dari pekarangan Istana Negara dengan kenderaan rasminya. - BERNAMA

'JANGAN BUAT KECOH'

'JANGAN BUAT KECOH'
Polis Kelantan minta penyokong bola sepak jaga etika, patuhi arahan

Kota Bharu: Polis menasihatkan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini, tidak terlalu emosional sehingga boleh menimbulkan huru-hara.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata mereka perlu mematuhi arahan ditetapkan dan tidak membawa senjata tajam atau mercun ke dalam stadium.


“Saya nasihatkan penyokong mematuhi arahan ditetapkan dengan tidak membawa senjata tajam atau mercun. Jangan terlalu emosional dan menimbulkan huru-hara kerana aksi pada malam itu amat penting untuk pasukan mereka juga,” katanya.

500 polis

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat, Media Prima Bhd, Azlan Abdul Aziz, bersama beberapa kakitangan di pejabatnya, semalam.

Jalaluddin berkata, polis Kelantan akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman sepanjang perlawanan itu.
Beliau berkata, hampir 500 anggota polis akan ditugaskan pada malam itu bagi tujuan berkenaan.

“Polis akan menjalankan tugas seperti biasa bagi memastikan perlawanan itu berjalan lancar sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Jamalul Kiram III meninggal dunia

Jamalul Kiram III meninggal dunia 
 
 Pengikut mengusung jenazah Jamalul Kiram III (gambar kecil) untuk disembahyangkan di masjid bandar Taguig, selatan Filipina. - Foto AFP
 
Kota Kinabalu: Jamalul Kiram III yang mengaku Sultan Sulu dan menghantar kira-kira 200 pengikutnya menceroboh Sabah, Februari lalu, dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan organ, pagi semalam.

Jamalul, 75, abang kepada Agbimuddin Kiram, individu yang mengetuai kumpulan penceroboh melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di Semporna dan Lahad Datu, awal Mac lalu, dilaporkan meninggal dunia di Pusat Jantung Filipina jam 4.42 pagi.

Laporan media Filipina menyebut, perkara itu disahkan anak perempuannya, Jacel Kiram.


Pengikut ceroboh Sabah


Pada 9 Februari lalu, kira-kira 200 penceroboh bersenjata yang juga pengikut Jamalul Kiram III dipimpin Agbimuddin, mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu bagi membuat tuntutan ke atas Sabah.

Berikutan itu, kerajaan berunding dengan kumpulan berkenaan supaya meninggalkan Sabah tanpa pertumpahan darah, namun mereka bertindak ganas menyerang anggota keselamatan menyebabkan kerajaan melancarkan Ops Daulat pada 6 Mac lalu.

Dalam insiden itu, seramai 10 anggota keselamatan terbunuh di Lahad Datu dan Semporna, manakala 72 pengganas mati dan lima cedera selain 30 didakwa atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta menjadi anggota pengganas.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) berharap tiada lagi tuntutan ‘Sultan Sulu’ ke atas negeri ini pada masa depan susulan kematian Jamalul Kiram III.

Henti usaha sia-sia

Setiausaha MPSS, Mohd Zaki Harry Susanto, berkata pengikut Jamalul Kiram III juga diharap menghentikan usaha sia-sia itu kerana Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963 dan masyarakat Suluk di negeri ini juga tidak pernah berhasrat bersultankan ‘Sultan Sulu’.

“Justeru, dengan pemergiannya, ia mampu memadamkan ideologi songsang keluarga Kiram yang hanya memburukkan nama baik masyarakat Suluk di Sabah. Kami juga merakamkan takziah kepada keluarganya,” katanya.

Kelantan tetap dihantui kebimbangan

Kelantan tetap dihantui kebimbangan  
Dua pertahanan Tentera cuba menghalang kemaraan ‘ayam tambatan’ Kelantan, Dickson Nwakaeme (kiri) pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, Jumaat lalu.
 
Kota Bharu: Walaupun memiliki kelebihan gol dan aksi di laman sendiri, tetapi kebimbangan tetap menghantui Kelantan menjelang perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.

Ia disuarakan sendiri Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, yang percaya The Gladiators mampu membuatkan The Red Warriors (TRW) kempunan dan menangis seandainya pemain tidak memberi fokus 101 peratus dalam perlawanan hidup mati itu.
“Saya mengingatkan kepada pemain, jika ada pasukan yang mampu menewaskan TRW, ia adalah Tentera. Tentera adalah pasukan yang kuat dan kita bernasib baik apabila berjaya mengatasi mereka pada separuh akhir pertama.


“Namun, kita harus ingat dengan kekalahan itu tidak bermakna Tentera tidak boleh menewaskan Kelantan di sini (Kota Bharu). Kita juga harus ingat anak buah B Sathianathan menjadi pasukan yang berjaya meleburkan rekod tanpa kalah kita di gelanggang sendiri musim ini.


Spekulasi tak jejas

“Jadi, saya harap seluruh pasukan melakukan persediaan rapi bagi menghadapi perlawanan itu dan lebih berwaspada dengan apa saja cabaran. Saya percaya Tentera akan melakukan banyak perubahan dari aspek permainan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Annuar yang dianggap sebagai bapa pembangunan bola sepak Kelantan bagaimanapun tidak menafikan hakikat betapa TRW kini berada pada landasan yang tepat untuk mengekalkan piala berprestij itu dan menyerahkan kepada pemain untuk melakukan yang terbaik.

Katanya, dia juga bersyukur kerana pelbagai spekulasi perpindahan beberapa tonggak Kelantan ke pasukan lain musim depan tidak sedikit pun mengganggu fokus pemain menghadapi perlawanan genting di Stadium Selayang.

“Walaupun terpaksa berhempas pulas untuk melepasi saingan di peringkat ‘kumpulan maut’ dan suku akhir, tetapi saya akui peluang kita untuk mara ke final dan mempertahankan kejuaraan cerah.

“Namun, segala-galanya kini terpulang kepada pemain dan satu kerugian sekiranya kita tidak mampu menjadi juara buat kali kedua berturut-turut,” katanya

Azamuddin belum puas

Azamuddin belum puas  
Azamuddin (kiri) merai jaringan kedua ketika menentang Sarawak dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, kelmarin. 
 
‘Saya tekad meledak lagi di Kuching pastikan Pahang ke final’

Kuantan: Selepas meledak dua gol ketika membantu Pahang menewaskan Sarawak 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur malam kelmarin, Azamuddin Mohd Akil berjanji akan merobek gawang lawan lagi pada perlawanan timbal balik kedua di Stadium Negeri Kuching, Sabtu ini.

Semangat tinggi pemain yang lebih mesra dengan panggilan Alex itu bagaimanapun tidak sukar ditafsirkan kerana baginya impiannya untuk membantu skuad Tok Gajah mara ke final belum terjamin kerana masih ada baki 90 minit yang perlu diharungi.
 
“Memang saya gembira kerana impian membantu pasukan melakar kemenangan di laman sendiri menjadi kenyataan. Saya juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bertungkus lumus untuk memastikan pasukan mencatat kemenangan.


“Namun, perlu diingat misi masih belum berakhir kerana masih ada 90 minit yang perlu diharungi. Jadi, saya bertekad untuk meledak lagi di Kuching nanti sekali gus memastikan pasukan mara ke final,” katanya selepas perlawanan.

Sentap semangat lawan

Azamuddin berkata, kelebihan dua gol yang dimiliki memang melegakan, tetapi menegaskan ia tidak harus membuatkan dia dan rakan sepasukan terlalu dibuai kegembiraan memandangkan skuad Bujang Senang pasti bangkit untuk menebus kekalahan berkenaan.

“Pada perlawanan malam tadi (kelmarin), Sarawak berjaya menjaringkan satu gol disebabkan sedikit kelekaan tetapi bertandang ke gelanggang lawan nanti kami perlu lebih fokus sepanjang perlawanan.
“Kami perlu lebih mantap terutama di bahagian pertahanan bagi memastikan kelebihan dua gol ini dapat dipertahankan sambil saya dan rakan lain di jentera serangan akan cuba mencari gol awal bagi menyentap semangat pemain lawan,” katanya.

EA Forex Berfungsi Autotrade Tanpa Perlu Trade Manual

Adakah anda telah bosan untuk trade secara manual? Jika anda sudah tidak mahu untuk trade secara manual, anda boleh menggunakan EA Forex Trader Power Trade.


Anda hanya perlu download secara percuma dan untuk membuka file tersebut, anda harus hubungi admin EA Forex Trader Power Trade melalui email : mdyakubag@gmail.com
Akaun Maybank: 162526099414

Contoh Email:
Subjek: Minta Password EA Forex Trader Power Trade.
IsiKandungan: Bantuan untuk dapatkan password dari admin. (Maklumat bayaran)

Selepas anda membuat bayaran sebanyak RM25, anda akan diberikan serta merta password dan cara untuk masukkan EA ke dalam broker MT4/MT5 anda. Ia sesuai bagi yang tidak ada masa atau luangan masa pada broker tidak dapat dibuat secara Full Time.

Ini disertakan trade EA Forex Trader Power Trade (Trade Hijau) : Jelas memang terbaik untuk yang memilikinya.

Itu adalah bukti menggunakan EA Forex Trader Power Trade, sekiranya anda ingin menguji broker anda, dapatkan sekarang kerana harga yang ditawarkan terlalu murah dan tidak membebankan wang poket anda. Link download EA Forex Trader Power Trade

Password Untuk Download EA: traderpowertrade

Dapatkan sekarang kerana anda mungkin dapat mengubah nasib anda kepada yang lebih baik!!

Habuan buat Tentera jika muncul juara

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBAT), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin membayangkan kemungkinan memberikan habuan kepada pasukan bimbingan B Sathianathan andai berjaya menjulang Piala Malaysia, musim ini.

Bagaimanapun, katanya, pemberian insentif itu bukan fokus utama PBAT ketika ini kerana The Gladiators perlu terlebih dulu melepasi halangan Kelantan yang juga penyandang juara di separuh akhir.
 
 “Insentif itu adalah perkara kedua bagi pasukan ketika ini, apa yang penting adalah menumpaskan pasukan Kelantan dalam saingan separuh akhir ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Korban Hari Raya Aidiladha di perkarangan Masjid Khalid Al-Walid Kementah, di sini, semalam.


Beliau yang juga Panglima Angkatan Tentera (ATM) turut menyeru pemain untuk menunjukkan aksi memberangsangkan pada separuh akhir pertama di Stadium Selayang, Jumaat ini dan menggunakan semua peluang yang ada bagi memudahkan laluan mereka pada aksi timbal balik di tempat lawan.

Jangan ikut perasaan

Dalam pada itu, Zulkifeli berkata pihaknya akan bermesyuarat dengan Persatuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membincangkan soal keselamatan ketika perlawanan, hari ini.

“Dengan kapasiti stadium yang terhad, kita cuba sedaya untuk meningkatkan keselamatan terhadap kedua-dua pihak kerana ini adalah tanggungjawab wajib untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau juga meminta penyokong kedua-dua pihak tidak terlalu mengikut emosi ketika hadir di gelanggang nanti.

“Tidak kira siapa yang menang, mereka tidak perlulah mengikut perasaan. Ini bukan lagi keputusan muktamad, nanti ada pula perlawanan kedua di Kota Bahru 25 Oktober nanti,” katanya.

Bekas Botol Mineral Yang Berjasa

Ini adalah sesuatu yang menarik entry yang saya buat kerana ia adalah pertama kali saya lakukan berbanding perkara lain. Mungkin bekas botol mineral dijadikan kitar semula adalah perkara biasa untuk yang begitu kreatif, tetapi saya baru memulakan daya kreatif pemikiran saya untuk menjadikan botol mineral kosong yang telah digunakan dapat digunakan semula bagi tujuan lain.

Siapa sangka, sambil termenung dibelakang rumah, saya terdetik untuk menjadikan botol seperti gambar di atas dijadikan bekas atau ruang Pegaga.

Bermula dengan memotong bahagian ruang tepi menjadikan sebelah tadi dimasukkan tanah dan menanam semula Pegaga yang telah diambil dari tempat lain.

Melihat kembali apa yang telah dibuat, saya dapat kongsikan satu kaedah untuk menjimatkan ruang dan boleh diubah kemana-mana ruang yang sesuai diletakkan agar Pegaga tadi terjaga tanpa terbiar dan kotor. Penjagaan yang saya buat dengan meletakkan di satu sudut yang agak baik agar ia tidak terdedah dari dipijak atau terkena benda yang kita tidak ketahui.

Selamat mencuba sekiranya anda yang ingin menjadikan bekas botol mineral dijadikan bekas penanaman sayur-sayuran atau pokok bunga.

Pengantin salah kamar tidur

Guangxi: Mahkamah mendapati tidak bersalah seorang pengapit lelaki yang melakukan hubungan seks dengan pengantin perempuan secara tidak sengaja.

Berikutan itu, pengapit terbabit terlepas daripada dakwaan rogol, kata Mahkamah Rakyat Daerah Napo di sini.
Pengantin perempuan itu, Huang dan pengantin lelaki, Wu, mengadakan majlis perkahwinan pada 30 Ogos lalu di Napo, sebuah wilayah autonomi di Guangxi Zhuang .


Pada malam perkahwinan, salah seorang pengapit Wu yang bernama Ruan, tinggal di rumahnya selepas majlis berakhir.

Pada jam 2 pagi, Huang bangun dan keluar bilik pengantin untuk menggunakan bilik air.

Tersilap masuk bilik

Bagaimanapun, dia tersilap apabila masuk semula dalam rumah ke dalam bilik Ruan dan tidur di sebelahnya.
Oleh kerana percaya Ruan suaminya, Huang dan pengapit menjalin hubungan seks dalam keadaan gelap.

Menjerit minta tolong

Pagi keesokannya, apabila Huang mendapati dirinya di sebelah Ruan, dia menjerit meminta tolong kerana percaya menjadi mangsa rogol.

Wu dan keluarganya menyerbu masuk dan menuntut Ruan membayar pampasan atas perbuatannya.

Bagaimanapun, Ruan berkata, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak ada wang untuk diberi.

Lapor polis

Huang dan Wu kemudian pergi ke sebuah balai polis tempatan untuk mengemukakan tuduhan tetapi pegawai berkata kes itu bukan rogol dan enggan memfailkannya.
Oleh kerana marah, Huang dan Wu meminta mahkamah membuat keputusan.

Mahkamah berkata, Ruan sedang tidur apabila Huang tersilap masuk ke biliknya dan merangsangnya.

“Oleh itu, hubungan seks itu adalah secara sukarela, kata hakim. Meskipun Ruan bersalah dari segi moral, tiada jenayah berlaku,” katanya lagi.

Sathia minta anak buah tunai janji

Kelana Jaya: “Mereka yang minta, jadi mereka kena main betul-betul. Kalau tak, saya tahu apa yang saya nak buat dengan mereka.”

Itu pesanan jurulatih Tentera, B Sathianathan kepada anak buahnya supaya menunaikan janji untuk tampil dengan persembahan lebih bertenaga ketika bertemu Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Selayang, Jumaat ini.

Pemain Tentera diketuai kaptennya, Hairuddin Omar sebelum ini meminta supaya venue perlawanan berkenaan ditukar semula ke Stadium Selayang selepas Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) pada awalnya memohon kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya ia dilangsungkan di Stadium Shah Alam.


Pemain mahu di Selayang

“Berita FAM meluluskan pertukaran semula ke venue asal ini sesuatu yang bagus. Itu kemahuan pemain Tentera dan kami perlu hormati. Mungkin silap saya kerana sebelum itu diberitahu Setiausaha PBAT supaya cari stadium lain yang lebih selamat dan keputusan awal diambil dari sudut itu.

“Tapi pemain nak kekal bermain di Stadium Selayang dan kami adakan perjumpaan dengan Presiden PBAT. Selepas bersetuju, beliau terus menghubungi pihak berkuasa bagi memberi kawalan keselamatan dan Stadium Selayang memang tempat kami,” katanya.

PDRM kesal kenyataan Zahid diputarbelit

Sepang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesal kerana kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai tindakan polis menembak penjenayah terlebih dulu dipolitikkan dan diputarbelitkan pihak tertentu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kenyataan itu sebenarnya menggesa anggota polis bertindak mempertahankan diri ketika berdepan penjenayah bersenjata.
“Apabila nyawa kami (anggota polis) diancam, kami tidak ada jalan lain untuk mempertahankan diri,” katanya sambil menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai bulat-bulat berita yang disiarkan portal, yang sengaja mensensasi dan memutarbelit sesuatu berita.


Beliau ditemui sebelum berlepas ke Amerika Syarikat bagi menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Interpol ke-82 di Cartagena, Columbia, bermula 21 hingga 24 Oktober ini.

Mengulas mengenai perhimpunan Interpol yang menghimpunkan ketua polis negara dari seluruh dunia, Khalid berkata, ia penting dalam usaha mengurangkan jenayah secara kolektif.

Jenayah tiada sempadan

“Sekarang ini jenayah tak ada sempadan, jadi saya rasa amat penting untuk kami berjumpa dan berkenalan antara satu sama lain dalam kami menangani jenayah merentasi sempadan,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan menghubungi Naib Presiden PKR, N Surendran, pada bila-bila susulan persetujuannya untuk menyertai operasi pencegahan jenayah membabitkan senjata api.

“Tunggulah, kita akan hubungi apabila ada operasi yang membabitkan penjenayah bersenjata.

Beliau cuma perlu bersedia dipanggil pada saat akhir sekitar jam 2 atau 4 pagi apabila kita mahu mulakan operasi,” katanya.

Khalid sebelum ini mengundang Surendran, untuk sama-sama mengikuti operasi membanteras jenayah yang dilakukan polis bagi mendapat gambaran sebenar mengenai kesukaran dan kritikalnya polis berdepan penjenayah bersenjata

Daudsu, Subra sertai JDT

Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam disahkan akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT), manakala Mohd Shakir Shaari menyertai Selangor pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Penyerang prolifik Kelantan, Nor Farhan Muhammad yang disebut-sebut akan menyertai JDT membuat pusingan U apabila terus kekal bersama skuad The Red Warriors (TRW).
Penyerang itu berbuat demikian selepas mengadakan rundingan dengan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, baru-baru ini.


Tak mampu bayar gaji

Annuar yang mengesahkan semalam berkata, empat pemain berkenaan memaklumkan hasrat untuk berpindah pada musim depan kerana mendapat tawaran yang lebih tinggi dari pasukan lain.

“Saya tak dapat berbincang dengan mereka sebelum ini kerana saya sakit. Namun selepas sihat, saya mengadakan pertemuan dengan mereka dan tidak dinafikan mereka mendapat tawaran tinggi dari pasukan lain.

“Kelantan tidak boleh menawarkan gaji terlalu tinggi hanya kerana sayangkan pemain yang akhirnya kita tidak mampu membayar gaji mereka. Kita tawarkan gaji mengikut kemampuan.
“Saya tidak mahu menanggung aib kerana tidak mampu membayar gaji mereka. Jadi, Daudsu dan Subramaniam meneruskan hasrat untuk berpindah manakala Nor Farhan ingin kekal bersama TRW,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zairo juga mahu kekal

Annuar juga mengesahkan bahawa Zairo Anuar Zailani yang dikatakan dipancing pasukan lain mahu kekal bersama pasukan itu untuk musim depan.

Mengenai pemain import, Annuar berkata keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan tiga pemain import musim depan adalah satu langkah baik yang mampu membendung harga pemain tempatan yang terus meningkat.

“Sekarang pemain tempatan minta gaji lebih mahal berbanding pemain import sedangkan kualiti mereka belum setara dengan pemain import,” katanya.

Dunia buru wira siber

London: Kerajaan dan sektor swasta di seluruh dunia kini bersaing untuk mendapatkan khidmat pakar keselamatan internet atau wira siber bagi menghadapi pelbagai serangan online yang membawa kerugian besar setiap tahun.

Cabaran utama ialah mendapatkan khidmat wira siber yang sesuai untuk melawan serangan itu yang membabitkan perisik, perbuatan sabotaj, musuh dan penjenayah.
Ibu Pejabat Siber tentera Amerika Syarikat mahu menambah saiznya menjelang 2015 dengan 4,000 petugas baru, peningkatan empat kali ganda.


Britain sudah mengumumkan pembentukan Unit Siber Bersama bulan lalu, langkah yang kemudian diikuti Brazil hingga Indonesia.

Siswa yang ada ijazah komputer boleh ditawarkan gaji AS$100,000 (RM320,000) dengan pendahuluan amaun sama, kadar yang lebih tinggi ditawarkan berbanding Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA).

Gaji RM452,200
Tetapi, pemohon tidak perlu ada ijazah untuk diberi kerja bergaji tinggi itu selagi berupaya melakukan kerja paling rumit termasuk mencari virus dalam perisian, mengenal pasti jangkitan yang sukar dikesan dan mematikan virus dalam komputer, kata pengasas Institut SANS di Washington, Alan Paller.
Mereka yang ada keupayaan tinggi dalam bidang diperlukan itu berpeluang mendapat gaji AS$110,000 hingga AS$140,000 (RM323,000 hingga RM452,200).

Malah, orang yang memiliki kemahiran tertinggi boleh dibayar sehingga AS$200,000 (RM646,000) oleh sektor swasta, kata Paller.

Serangan siber boleh memberi kesan dan kerugian besar. Contohnya, satu syarikat di sini rugi £800 juta (RM4.16 bilion) beberapa tahun lalu.

Rugi RM258.4b

Malah, kerugian di peringkat global dianggarkan AS$80 bilion (RM258.4 bilion) hingga AS$400 bilion (RM1.2 trilion) setahun, menurut kajian Pusat bagi Kajian Strategik dan Antarabangsa yang ditaja unit anti virus McAfee.

Ada pelbagai bentuk serangan termasuk dalam pemindahan wang tetapi biasanya membabitkan aktiviti mencuri butir-butir kad kredit selain serangan menghalang perkhidmatan ‘DDOS’.

Bukan orang perseorangan saja yang diserang tetapi juga kerajaan seperti dalam kes Stuxnet.

Virus itu dianggap projek bersama Amerika dan Israel untuk merosakkan loji nuklear Iran di Natanz.
REUTERS

Perangi Lanun Cetak Rompak

Kuantan: Operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan akan dilancarkan tidak lama lagi bagi membanteras kegiatan cetak rompak di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, berkata mesyuarat bersama agensi terbabit itu bakal diadakan dalam masa terdekat bagi memudahkan proses pengagihan tugas.
“Mesyuarat itu nanti akan dipengerusikan saya sendiri dan kita akan meminta kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk turut serta operasi nanti.


“Berdasarkan kejayaan Ops Cantas dilancarkan PDRM... kita akan guna pendekatan sama dan operasi seperti ini pernah dilancarkan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang portfolio di kementerian ini dan ia terbukti berjaya melumpuhkan kegiatan sedemikian,” katanya pada sidang media selepas Program Sembang Koperasi anjuran KPDNKK, di sini, semalam.

Penggiat seni rugi

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin.

Hasan berkata, isu itu perlu diselesaikan segera kerana membabitkan hak cipta karya penggiat seni tempatan hingga mengakibatkan mereka mengalami kerugian akibat kegiatan haram itu.
Diminta mengulas mengenai ancaman keselamatan terhadap anggota penguat kuasa kementeriannya, Hasan berkata, perkara itu memang berlaku dan setakat ini pegawai dan anggotanya sentiasa bersiap sedia.

“Saya yakin mereka cukup bersedia berdepan ancaman keselamatan seperti ugutan dan pelbagai lagi. Jika operasi dapat dilakukan secara tersusun dan mendapat kerjasama daripada semua agensi penguat kuasa lain, saya percaya masalah ini boleh diatasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu pihaknya membanteras kegiatan cetak rompak dengan memboikot produk seperti video cakera padat digital (DVD) tiruan.

Raja Azmi sah jadi isteri Eddie


Kuala Lumpur: Produser, Raja Azmi Raja Sulaiman sah bergelar isteri kepada bekas anggota kumpulan rock CRK, Mohd Eddie Ghazali, 45, dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang berlangsung di Laman Santai, Istana Budaya, di sini, malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah, Mejar (B) Ismail Wan Ahmad dengan berwakilkan wali abang sulung produser itu, Raja Azman Raja Sulaiman.
Raja Azmi, 54, yang berkahwin kali kedua itu menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta gelang tangan emas putih berbalas tiga dulang hantaran berupa manis-manisan daripada pihak pengantin lelaki.


Ketika ditemui, Raja Azmi berkata, dia bersyukur kerana segalanya sudah pun selesai dengan selamatnya.

PBNP belum tetapkan jumlah tiket akan dijual

Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) belum menetapkan jumlah tiket yang akan dijual pada aksi separuh akhir pertama antara Pahang dan Sarawak di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Walaupun berdasarkan kapasiti stadium, ia boleh memuatkan 35,000 penonton, PBNP tidak akan berbuat demikian bagi mengelakkan berlaku kebanjiran penonton ketika menyaksikan perlawanan itu.
Setiausaha PBNP Fuzeimi Ibrahim berkata, apa pun keputusan muktamad jumlah tiket akan disahkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan persatuan itu, Rabu ini.


"Setakat ini, kita memutuskan stadium hanya boleh dipenuhi 32,500 penonton iaitu mereka berada dalam keadaan selesa terutama penonton tidak duduk di atas tangga dan berdiri.

Keselamatan dipertingkat

"Apa pun, segala-galanya akan diputuskan pada mesyuarat Rabu ini dan percaya kejayaan Pahang ke separuh akhir bakal menyaksikan ribuan penyokong akan beramai-ramai memberikan sokongan.

"Setakat ini, kami sudah menerima tempahan daripada semua Persatuan Bola Sepak Daerah di Pahang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyaksikan perlawanan itu," katanya di sini, semalam.
Fuzeimi berkata, faktor kawalan keselamatan akan dipertingkatkan pada perlawanan itu kerana menjangkakan sambutan luar biasa penyokong skuad Tok Gajah itu.

Katanya, pihaknya tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku seperti aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT) berulang.

"Saya percaya penyokong Pahang yang hadir akan mengekalkan disiplin dan mereka datang semata-mata untuk memastikan Pahang mencatat kemenangan," katanya.

Harimau Muda sertai Liga-A

Kelana Jaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang menghantar Harimau Muda A untuk beraksi di Liga Australia (Liga-A) musim 2014/2015 mulai Oktober tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun berkata badan induk bola sepak negara itu perlu mengkaji terlebih dahulu status penyertaan dan kewangan sebelum membuat keputusan.
“Kita ada membincangkan untuk menghantar Harimau Muda A ke Australia, selain ke Slovakia atau Brazil.


Singapura turut dipelawa

“Bagi kita memang bagus untuk pasukan kita bermain di Australia tetapi kita perlu kaji terlebih dahulu dari segi status penyertaan dan kewangan. Jika tidak kita mungkin akan menghadapi kesukaran lain,” kata Hamidin ketika ditemui di Wisma FAM, petang semalam.

Selain Malaysia, Liga-A turut mempelawa Singapura dan Indonesia untuk menghantar satu kelab masing-masing bagi menyertai 10 kelab Australia lain yang sedang beraksi dalam liga berkenaan ketika ini.

“Sehingga kini kami masih belum mendapat penjelasan terperinci daripada pihak Liga-A sama ada penyertaan kelab kita itu bakal menyaksikan kita perlu berkampung terus di Australia sepanjang musim liga atau ada perlawanan boleh dilangsungkan di Malaysia,” katanya.
Malaysia dilantik jadi hos

Sementara itu, Hamidin berkata, Malaysia dilantik sebagai hos untuk memohon kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi menganjurkan Liga Super ASEAN (ASL) yang dijangka dimulakan pada 2015.

Beliau berkata, pasukan yang menyertai liga berkenaan membabitkan satu atau dua kelab dari setiap negara anggota.

“Kita akan menubuhkan satu syarikat untuk menganjurkan ASL dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai penasihatnya manakala pengerusi yang dilantik ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin,” katanya.

Gladiators, TRW tembung di Selayang


Kota Bharu: Hajat Tentera untuk bertemu Kelantan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, 18 Oktober ini di Stadium Selayang tercapai selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan permohonan mereka untuk menukar semula gelanggang dari Stadium Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata keputusan itu dibuat selepas Persatuan Bola Sepak Tentera (PBAT) berjanji akan mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam permohonan semula yang dikemukakan mereka.
“Atas dasar itu akhirnya kami mengambil keputusan menimbang rayuan itu dan bersetuju supaya perlawanan itu diadakan semula di Stadium Selayang,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV yang turut dihadiri Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.



Jaga tingkah laku

Afandi berkata, pihaknya memberi penekanan kepada Tentera sebagai tuan rumah untuk memastikan kelancaran perlawanan dan meningkatkan tahap keselamatan untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya juga menyeru supaya penyokong kedua-dua pasukan mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk memastikan kelancaran perlawanan,” katanya.
Tukar gelanggang

PBAT sebelum ini membuat permohonan kepada FAM untuk menukar gelanggang perlawanan dari Stadium Selayang ke Stadium Shah Alam atas faktor keselamatan dan ia dipersetujui badan induk berkenaan.

Namun, pemain The Gladiators membantah tindakan PBAT itu kerana berpendapat mereka lebih selesa beraksi di Selayang selain pertukaran gelanggang itu akan memberi kelebihan kepada juara bertahan itu yang mempunyai jumlah penyokong yang ramai.

'Suntikan semangat baru'



Hai-O anggap ia kemenangan moral untuk Tentera temu Kelantan

Kuala Lumpur: Kapten Tentera, Hairuddin Omar menyifatkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan permohonan pertukaran semula gelanggang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Kelantan, Jumaat ini ke Stadium Selayang mampu memberikan semangat tambahan kepada dirinya serta rakan sepasukan lain.

Isu pertukaran gelanggang itu berlarutan hampir seminggu sejak FAM, Isnin lalu meluluskan permohonan awal Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) untuk menukar gelanggang ke Stadium Shah Alam tetapi tindakan itu tidak ‘direstui’ pemain Tentera diketuai Hairuddin.
“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat beraksi semula di gelanggang sendiri kami iaitu Stadium Selayang. Saya pasti ia akan menjadi semangat tambahan buat semua pemain Tentera untuk memberikan persembahan yang lebih baik, Jumaat ini.


“Tapi sebenarnya fokus kami sepanjang isu ini berlarutan tidak terganggu kerana kami tetap bersedia untuk bermain di mana-mana stadium. Cuma harapan kami supaya ia berlangsung di Stadium Selayang,” kata Hairuddin ketika dihubungi, malam tadi.


Tiada tekanan

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah mengumumkan pertukaran semula gelanggang ke Stadium Selayang itu pada satu sidang media di Kota Bharu, petang semalam selepas pihaknya meneliti permohonan baru daripada PBAT itu, kelmarin.
Ditanya adakah penukaran semula gelanggang itu bakal memberi tekanan kepada pemain Tentera kerana mereka sendiri seakan tidak senada dengan hasrat awal PBAT untuk aksi dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Hairuddin menganggap tiada masalah.

“Tak timbul sebarang tekanan. Malah kami tak terlalu mahu memikirkan sangat masalah ini. Tapi bagi kami, beraksi di Stadium Selayang lebih membuatkan kami bersemangat dan harap kami mampu beri yang terbaik pada perlawanan itu nanti,” jelas Hairuddin.

Apa pun Tentera perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang keramat mereka itu, Jumaat ini untuk mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 25 Oktober ini bagi aksi separuh akhir kedua.

Mudah hilang ingatan jika perut buncit

Chicago: Orang yang berperut buncit mempunyai kemungkinan tiga kali ganda untuk hilang ingatan dan nyanyuk apabila tua, menurut kajian.

Saintis mendapati, orang yang ada banyak lemak pada perut mempunyai kadar protein lebih rendah, yang turut menentukan sejauh mana hati dapat memproses lemak.
Unsur dipanggil PPARalpha mengawal pemprosesan lemak dalam hati, selain berada dalam pusat ingatan otak - hippocampus – serta mengawal deria ingatan dan keupayaan belajar.


Apabila seseorang itu mempunyai berat berlebihan, mereka mula kehilangan PPARalpha di bahagian hati dan seterusnya di seluruh anggota tubuh, termasuk otak.

Dalam satu kerjasama dengan Institut Kesihatan Kebangsaan, saintis saraf di Universiti Medical Centre, di sini, percaya penemuan mereka akan membawa kepada ubat membantu mempertingkat keupayaan belayar dan daya ingatan golongan nyanyuk.


Dr Kalipada Pahan dari pusat perubatan Universiti Rush berkata: “Kita perlu untuk memahami lebih mendalam bagaimana lemak mempengaruhi daya ingatan dan keupayaan belajar untuk membangunkan cara melindungi ingatan dan keupayaan belajar.” 

Rahsia kahwin takut kontrak

 

Petaling Jaya: Pasangan pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal, mengaku bernikah kali pertama setahun lalu tanpa didaftarkan dengan Pejabat Agama Islam Daerah Petaling.

Selain tidak didaftarkan, pernikahan di rumah pengurusnya di Taman Datuk Harun di sini, pada 25 Februari tahun lalu itu juga tidak mempunyai dokumen sah.

Bagaimanapun, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 26, dan Wawa nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, bernikah kali kedua pada 4 Februari lalu selepas pelakon wanita itu disahkan mengandung.



Mudah daftar bayi

Airel berkata, pernikahan kali kedua itu perlu dibuat untuk memudahkan proses pendaftaran bayi mereka.

“Ya, saya dan Wawa sudah bernikah pada 25 Februari 2012. Pernikahan itu memenuhi rukun nikah yang ditetapkan dan diadakan di rumah pengurus saya tetapi tidak didaftarkan dan tidak mempunyai dokumen sah.
“Bagaimanapun, apabila saya mengetahui yang Wawa mengandung, kami mengambil keputusan untuk mendaftarkan perkahwinan dengan bernikah kali kedua supaya bayi kami nanti tidak berbinkan Abdullah,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan isu perkahwinan rahsia dan pasangan itu mempunyai seorang bayi lelaki di sini, semalam.

Turut hadir, bapa Wawa, Zainal Abidin Sulong dan peguam Aeril, Zulhasmi Zakaria.

Selepas enam bulan bernikah kali kedua, pasangan itu dikurniakan Ahmad Fakharuddin Attar Suhairil.


Tempoh 2 tahun

Bila ditanya mengapa mereka menyembunyikan pernikahan dan sudah mempunyai anak, Wawa berkata, mereka sepakat merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum untuk tempoh dua tahun akan datang.

Hodak, Kelantan hampir pasti pisah



KAFA tak mampu penuhi tuntut gaji RM800,000

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak hampir pasti akan meninggalkan pasukan itu musim depan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan tidak akan memenuhi permintaan gaji yang tinggi daripada pengendali itu musim depan.

Jurulatih kelahiran Croatia itu yang mencipta gemilang bersama Kelantan berjaya membawa The Red Warriors (TRW) memenangi tiga piala musim lalu dikatakan akan berpindah ke T-Team atau pun Pulau Pinang. Kekosongan bakal ditinggalkan Bojan itu dijangka diisi bekas jurulatih Perak, Steve Darby.
Ramai pindah



Menurut sumber, selain Bojan, Kelantan juga bakal kehilangan beberapa tonggak utama musim depan termasuk pemain ‘otai’ mereka iaitu, Indera Putra Mahayuddin yang turut diintai T-Team.


Tak mampu tunai

“KAFA tidak mampu memenuhi kehendak Bojan yang meminta gaji sebanyak RM800,000 semusim, semestinya kemamp uan kantung pasukan menjadi keutamaan TRW sebelum membuat keputusan.
“KAFA sudah membuat tawaran termasuk kenaikan gaji kepada Bojan, namun, beliau membisu dan terus berharap agar permintaan itu ditunaikan pengurusan,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini enam tonggak utama Kelantan iaitu, Norfarhan Muhammad, Shakir Shaari, Zairo Anuar Zailani, Daudsu Jamaluddin, Azizi Mat Rose dan S Subramaniam hampir pasti menyertai JDT musim depan.

Penyerang import prolifik Kelantan, Dickson Nwakame juga bakal meninggalkan pasukan itu untuk kembali menyertai liga luar negara selain Ahmad Fakri Saarani juga dikatakan akan turut angkat kaki.


Bincang dengan Indra

TRW kini dikatakan dalam proses perbincangan dengan Indra bagi memastikan pemain itu terus kekal di Kelantan untuk terus bergandingan dengan kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi ataupun lebih dikenali sebagai Piya.

“Indra menerima tawaran gaji sebanyak RM55,000 sebulan daripada pasukan berkenaan, begitu juga gaji lumayan turut ditawarkan kepada Piya oleh FELDA United.

“Bagaimanapun pemain Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali akan bersama Kelantan musim depan selain Nurul Azwan Roya yang kini bersama JDT turut diberikan tawaran untuk kembali bersama TRW,” katanya.

Pensyarah gagal saman RM1 juta

Shah Alam: Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) gagal dalam tuntutan saman malu RM1 juta terhadap bekas pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kerana mendakwa mengaitkannya dengan fahaman Wahabi dalam satu laman blog.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Halijah Abbas, menolak saman Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah UKM, Dr Azwira Abdul Aziz, 45 selepas mendapati dia gagal membuktikan elemen fitnah dalam artikel ditulis Zamihan Mat Zin.
Halijah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000. Zamihan kini bertugas sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Azwira yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis menyaman Zamihan pada 18 Jun 2009 dengan menuntut ganti rugi RM1 juta selepas mendakwa defendan menerbitkan artikel fitnah dalam laman blog, www.al-ghari.blogspot.com yang mengaitkannya dengan fahaman Wahabi.

Artikel unsur fitnah

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif berkata, defendan menerbitkan artikel bertajuk ‘Kisah Lama dari UKM’ di blog itu pada 6 Mac 2008, yang mengandungi kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah.

Beliau berkata, perkataan dalam artikel itu antara lain bermaksud dia berfahaman Salafi Al Wahhabi yang amat taksub dan membawa ajaran sesat, yang menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya masyarakat Islam.
Plaintif berkata, walaupun beliau sudah mengemukakan surat kepada defendan melalui peguamnya pada 11 Mei lalu bagi menuntut permohonan maaf bertulis dan ganti rugi RM500,000, defendan masih enggan berbuat demikian.

Azwira diwakili peguam Adnan Seman, manakala Azmi Mohd Rais bertindak bagi pihak Zamihan.

Cerai selepas lihat gambar isteri cium kuda

Riyadh: Seorang wanita di Arab Saudi diceraikan suaminya yang cemburu selepas dia melihat sekeping gambar isterinya mencium kuda dimuat naik di lama sosial.

Wanita tanpa nama itu bagaimanapun tidak menyesal atas perbuatannya mengambil gambar ‘sedang mencium kuda’ ketika berada di ladang ternakan di Riyadh dan menyifatkan suaminya cemburu tidak bertempat.
Akhbar Sada melaporkan suami wanita itu berang selepas melihat sendiri gambar berkenaan di laman sosial kemudian menceraikan pasangannya.


Tindakan keterlaluan

“Dia nampaknya terlalu cemburu terhadap isterinya, sehingga mencium kuda pun dianggap keterlaluan,” kata akhbar itu.

Wanita berkenaan juga bertegas bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada suaminya kerana apa yang dilakukannya bukan di luar batasan, malah menyalahkan suaminya yang tidak tahu membezakan antara haiwan dan manusia.

Beliau turut bangga dengan gambar itu berikutan ia hanyalah luahan perasaan ‘sayang’ terhadap haiwan itu. AGENSI

Peniaga pasar malam nafi liwat anak

Klang: Seorang peniaga pasar malam, mengaku tidak bersalah terhadap 10 tuduhan, membabitkan perbuatan sumbang mahram dan liwat, ketika didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh berusia 48 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap anak perempuannya sejak berusia 11 tahun empat bulan mulai Ogos 2012 hingga kali terakhir pada 25 September lalu.
Dia yang mengaku tidak bersalah sebaik mendengar pertuduhan, didakwa melakukan semua kesalahan terbabit di sebuah rumah dekat Taman Bukit Kuda di sini.


Berdepan lima dakwaan

Tertuduh berdepan dakwaan lima tuduhan sumbang mahram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan, boleh dipenjara antara lapan hingga 30 tahun dengan sekurang-kurangnya 10 sebatan bagi setiap kesalahan.

Bagi lima pertuduhan liwat pula, dia dituduh mengikut Seksyen 377(c) kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dengan dikenakan sebatan.

Prosiding berasingan
Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hashim dan Nor Azilah Mat, berlangsung secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1 dan 2, Tasnim Abu Bakar dan Ahmad Fairuz Mohd Puzi.

Selepas menilai hujah kedua-dua pihak, Tasnim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 18 November untuk sebutan semula kes itu serta lantikan peguam bela.

Ketika prosiding di hadapan Ahmad Fairuz pula, hakim terbabit turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum memerintah semua pertuduhan disebut semula dan dibicarakan bersama di depan Tasnim pada 18 November ini.

Anak Hussain dapat RM2j

Kuala Lumpur: Anak tunggal Hussain Ahmad Najadi, pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian yang mati ditembak tiga bulan lalu, memperoleh harta hampir RM2 juta dalam bentuk wang tunai dan saham selepas berjaya dalam permohonan faraid di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Hakim Nassir Abdul Aziz membuat keputusan membenarkan permohonan Pascal Ahmad Najadi selepas meneliti dokumen dikemukakan pemohon mengikut Seksyen 50 Akta Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998.
Dalam penghakimannya, Nassir berkata, selepas meneliti dokumen dikemukakan pemohon, mahkamah mendapati beliau adalah waris tunggal kepada Hussain yang meninggal dunia pada 29 Julai lalu.


Anak lelaki kandung

Beliau berkata, dokumen itu menunjukkan si mati meninggalkan seorang saja anak lelaki kandung dan berdasarkan hukum syarak dan faraid, si mati tidak meninggalkan waris lain.

“Justeru, pemohon selaku waris tunggal si mati layak untuk menerima harta dengan nisbah pembahagian 1:1 dan hutang piutang, iaitu baki semasa kad kredit si mati setakat 28 Julai lalu berjumlah RM32,208.70 perlu dibayar sebelum harta lain diagihkan kepada warisnya.

“Harta berupa wang simpanan di Allianze Bank berjumlah RM321,195.70 dan 540,000 unit saham sebuah syarikat di Labuan, Sabah dengan anggaran bernilai RM1.5 juta hendaklah diberikan kepada waris, dengan syarat hutang lain dijelaskan terlebih dulu.
Pascal yang memegang kerakyatan United Kingdom dan Switzerland diwakili peguam Akberdin Abdul Kader.

Anak gembira, lega

Sementara itu, Pascal, 46, yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Najadi & Partners Sdn Bhd ketika ditemui, gembira dan lega dengan keputusan mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang 29 Julai lalu, Hussain, 75, mati ditembak di tempat letak kereta di Lorong Ceylon, di sini, ketika berjalan keluar dari sebuah tokong berhampiran.

Turut cedera dalam kejadian itu adalah seorang wanita berusia 49 tahun.
Suspek kes berkenaan, Koong Swee Kwan,44, sudah pun ditahan dan dihadapkan ke mahkamah pada 3 Oktober lalu.

RM500 untuk dapat ‘kad pengenalan’


Rawang: Dengan bayaran serendah RM500, pendatang asing tanpa izin (PATI) berketurunan Suluk dari Filipina akan diberi kad pengenalan palsu untuk memasuki negara ini tanpa diganggu pihak berkuasa.

Sindiket pemalsuan kad pengenalan yang bergiat aktif di Sabah itu dipercayai menggunakan kad pengenalan rakyat tempatan yang hilang atau tercicir sebelum memalsukan dokumen berkenaan dengan menukar gambar serta alamat pada kad terbabit.

Malah, sindiket turut memberi jaminan bahawa kad pengenalan itu adalah tulen seratus peratus dan mereka mampu bekerja dengan tenang di negara ini terutama di Lembah Klang tanpa diganggu pihak berkuasa.


Kegiatan terbongkar

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggempur sebuah kawasan perumahan kos rendah di Bandar Country Homes, di sini, dipercayai lokasi persembunyian ratusan kaum berketurunan Suluk jam 1 pagi semalam.

Mereka dipercayai membuat penempatan di situ lebih dua tahun lalu kerana kadar sewa yang rendah iaitu antara RM180 hingga RM200 saja.

Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang, berkata kebanyakan mereka tidak gentar dengan pihak berkuasa kerana mempunyai kad pengenalan palsu yang dibeli daripada sindiket di Sabah.

Katanya, siasatan mendapati, kad pengenalan yang digunakan sindiket itu adalah milik penduduk negara ini yang dilaporkan hilang atau tercicir oleh pemiliknya.

Cip tak boleh diubah

“Kebanyakan kad akan diubah di bahagian nama, alamat dan gambar saja. Bagaimanapun, cip pada kad itu tidak boleh diubah. Kita masih dapat mengesan pemilik sebenar kad itu menerusi cip itu. Setakat ini tiada lagi kes pemalsuan cip yang kami jumpa,” katanya kepada pemberita, di sini.

Wan Zakaria berkata, menerusi serbuan dengan kerjasama Jabatan Imigresen itu, pihaknya memeriksa 40 unit rumah dan menahan tujuh warga asing yang memegang kad pengenalan palsu.

“Kita percaya ramai PATI yang menggunakan kad pengenalan palsu dikesan berada di Lembah Klang dan sindiket ini mampu mengaut keuntungan lumayan,” katanya.

Sementara itu, seorang kaum Suluk yang mahu dikenali Faizal, berkata dia mengakui membeli kad pengenalan itu dua tahun lalu sebelum menyeludup masuk ke Malaysia.

Katanya, dia hanya perlu memberi gambar pasport dan membayar RM500 saja kepada satu sindiket di Sabah.

Guru menyamar pegawai polis ditahan di Dengkil

SHAH ALAM 9 Okt. - Seorang guru yang menyamar sebagai pegawai polis diberkas dalam Ops Cantas Khas di sebuah hotel bajet di Taman Dengkil Centre Point, Dengkil dekat sini, 4 Oktober lalu.
Turut dirampas dalam serbuan pukul 10.30 malam itu ialah sepucuk pistol tiruan, pisau, walkie-talkie, beret dan kereta Proton Waja milik suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketika ditahan suspek sedang mendekati dua warga Bangladesh dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan.

Bagaimanapun kata beliau, selepas siasatan dibuat suspek yang berusia 36 tahun mengaku bekerja sebagai guru dan mengajar di sebuah sekolah di Putrajaya.

"Tindakan suspek dipercayai bertujuan menakut-nakutkan warga asing terbabit," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shukri, pihaknya kini sedang menyiasat penglibatan suspek dalam kegiatan jenayah lain.

"Suspek telah ditahan reman bermula 5 Oktober lalu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Tak malu jadi anak FELDA



Que Haidar mengaku, bukan sedikit anak muda FELDA yang berbakat dalam bidang seni, namun mereka berasa malu dan kurang keyakinan diri untuk melangkah ke hadapan menonjolkan keupayaan.

Justeru, apabila dia diundang menjadi sebahagian daripada panel uji bakat mencari pelakon dalam kalangan anak FELDA, lelaki yang dilahirkan dengan nama Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ini dengan senang hati menerima ajakan berkenaan.
Apatah lagi dia sendiri sebahagian daripada generasi yang lahir daripada tanah rancangan, iaitu dari FELDA Taib Andak, Kulai, Johor.


Begitupun, mungkin berbeza daripada sebahagian anak muda yang membesar di sana, Que mengaku dirinya diasuh untuk tidak berasa segan bergelar anak FELDA.

Pernah melalui kepahitan ketika mahu mencipta nama sebagai pelakon, Que, 34, yang seakan mengerti cara pemikiran anak muda di tanah rancangan tidak mahu mereka berasa rendah diri dan bimbang jika menjadi bahan cemuhan.

“Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak FELDA (ISKAF) mahu mencari anak FELDA yang berbakat sebagai pelakon untuk filem mereka dan saya antara orang yang menguruskan uji bakat berkenaan. Diketuai Rosdeen Suboh, projek ini turut membabitkan pelakon, Jalil Hamid. Sudah banyak tempat yang kami pergi. Antaranya Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Peluang berlakon filem
“Baiknya usaha ini kerana ramai anak FELDA yang bagus dan berbakat, tetapi mereka malu untuk tampil ke depan kerana mentaliti mereka agak berbeza.

Saya masih ingat, ada kalangan rakan saya yang berbakat, tetapi selepas kawan mereka cakap perkara yang kurang sedap didengar, mereka terus hilang semangat, menyebabkan minat menceburi bidang seni terkandas.

“Saya sudah lalui semua itu dulu.

Apa yang boleh saya nasihatkan, kita tidak boleh rasa malu. Ketika saya mencuba jadi pelakon dulu, keadaannya lebih sukar. Semuanya saya lakukan dengan usaha sendiri termasuk mengembara ke Kuala Lumpur.

“Sekarang suasananya berbeza apabila pencari bakat datang ke FELDA mencari pelakon. Ia peluang yang jarang diperoleh, jadi usah lepaskan. Kalau berjaya dalam uji bakat ini, mereka dapat terus berlakon filem,” katanya ketika ditemui pada sidang media mengumumkan kerjasama antara Lord‘s Tailor dengan fabrik Thomas Mason di Bangsar, baru-baru ini.

Bintangi Rock 3

Bercakap mengenai kerjaya seni, suami kepada pereka tari, Linda Jasmine, ini memberitahu, dia kini sedang mempertimbangkan tiga tawaran berlakon filem.

Bukan tiada jemputan membintangi drama, namun dek komitmen terhadap keluarga dan perniagaan, undangan berkenaan terpaksa dilupakan seketika.

Antara tiga tawaran itu pula, Que berkata, dia pasti menerima undangan berlakon Rock 3 kerana karyanya yang kuat serta tenaga produksi yang sudah lama dikenalinya.

“Saya memang terima undangan berlakon Rock 3 dan abang Mamat Khalid (pengarah) memaklumkan, mereka akan mulakan penggambaran dalam masa terdekat. Selain skripnya yang menarik, saya juga senang bekerja dengan warga produksi yang sudah saya kenal sejak 18 tahun dulu.

“Dua lagi tawaran sedang saya pertimbangkan, di satu daripadanya ialah filem aksi dan satu lagi komedi. Cuma, apabila hendak berlakon dalam filem komedi, saya boleh percayakan abang Mamat saja. Hanya dia yang boleh keluarkan bakat komedi dalam diri saya.

“Saya pernah cuba bersama pengarah lain, tetapi saya tak suka apa yang saya buat dalam filem itu. Saya rasa abang Mamat antara pengarah komedi yang boleh pimpin saya,” katanya yang masih berusaha membangunkan perniagaan pakaian lelaki, selain sibuk berkhidmat sebagai pengajar di bengkel lakonan.

Bilionair Afrika bertambah

Lagos: Jumlah bilionair dari Afrika meningkat berbanding sebelumnya, mengikut majalah Ventures dalam satu laporannya mengenai kekayaan penduduk benua berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah penduduk Afrika yang hidup di bawah paras kemiskinan juga meningkat.
Senarai nama bilionair Afrika yang dilaporkan sebelum ini adalah 16 orang, namun mengikut Ventures, penyelidikan lengkapnya mendapati terdapat sekurang-kurangnya 55 individu kaya di benua itu yang melindungi maklumat mengenai kekayaan mereka.


Majalah perniagaan pan-Afrika itu berkata ia mampu untuk mengenal pasti berpuluh bilionair baru dengan menggunakan pengetahuan terperinci bagi mengatasi cabaran yang mungkin menghalang penyelidik lain.

Daripada 55 individu, 20 daripadanya adalah warga Nigeria, termasuklah beberapa individu yang berkuasa, manakala Afrika Selatan dan Mesir masing-masing sembilan dan lapan individu.

Lelaki terkaya Afrika

Ventures menyokong laporan oleh Forbes yang menyenaraikan Aliko Dangote dari Nigeria sebagai lelaki terkaya di Afrika dengan kekayaan berjumlah AS$20.2 bilion (RM64.53 bilion).
Dangote yang memperoleh kekayaan menerusi perniagaan simen mengetuai pelbagai empayar penting dan mendapat keuntungan daripada produk termasuk tepung dan gula, di samping mengintai pelaburan besar-besaran dalam penapisan minyak.

Wanita terkaya di benua itu dari Nigeria, Folorunsho Alakija yang memiliki blok minyak luar pesisir, Fama Oil yang dibeli pada 1993 pada harga yang agak murah, dan berkemungkinan menerusi bantuan pihak tertentu, mengikut majalah itu.

Alakija menuntut dalam jurusan fesyen di London dan beliau mereka pakaian bagi Maryam Babaginda, isteri kepada diktator tentera Ibrahim Babaginda.

Bekas pereka fesyen itu dipercayai memanfaatkan hubungan yang terjalin untuk membeli blok minyak di Lembah Niger, di selatan Nigeria, mengikut Ventures.

Nicky Oppenheimer, individu terkemuka di Afrika Selatan mempunyai kekayaan bernilai AS$6.5 bilion (RM20.76 bilion) sebahagian besarnya diperoleh daripada lombong permata yang dikawal keluarga selama beberapa dekad, yang dikendalikan oleh De Beers.

Oppenheimer menjual kepentingan keluarganya dalam De Beers dua tahun lalu. Angka 55 itu sebenarnya adalah di bawah anggaran jumlah hartawan Afrika, mengikut pengasas Ventures, Chi-Chi Okonjo.

Tak selesa dedah harta

“Orang ramai tidak selesa mendedahkan kekayaan mereka,” katanya.
Rasuah masih berleluasa di benua berkenaan dan kedaulatan undang-undang masih tidak digunakan secara sekata.

Mogul perniagaan Afrika sering berhadapan dengan dakwaan bahawa kekayaan mereka diperoleh secara haram, termasuk dengan bantuan undang-undang tambahan daripada ahli politik.

Jumlah warga Afrika yang sangat kaya semakin meningkat di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang semakin luas di benua itu, yang menyaksikan purata lima peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sejak tahun 2010.

Namun pertumbuhan ekonomi tidak seiring dengan peningkatan populasi.
AFP

RM150 juta filem kita dijual di Cannes

Penerbitan filem animasi 3D, Hugo bernilai RM32 juta dan hak pengedaran antarabangsa filem pecah panggung, Istanbul Aku Datang adalah antara 13 perjanjian bernilai lebih RM150 juta dimeterai pembekal kandungan Malaysia dan rakan global pada pasaran industri kandungan terbesar dunia, MIPCOM 2013 di sini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perjanjian yang dimeterai syarikat kandungan tempatan dan rakan kongsi antarabangsa membuktikan komitmen negara dalam membangunkan harta intelek bertaraf global.
“Kali ini, Malaysia menghantar delegasi terbesar dengan lebih 60 syarikat tempatan menyertai pasaran kandungan paling berjaya ini.


Catat pulangan RM12b

“Industri kandungan kreatif negara juga makin membangun, malah kita mencatat pulangan lebih RM12 bilion sepanjang tahun lalu,” katanya ketika merasmikan majlis Resepsi Agenda Jaringan Kreatif Malaysia pada MIPCOM 2013 di sini, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Komunikasi Singapura, Dr Yaacob Ibrahim; Presiden Reed MIDEM, Paul Zilk; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dan Pengerusi FINAS, Datuk Md Afendi Hamdan.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery menyaksikan majlis pertukaran 13 dokumen perjanjian antara pembekal kandungan tempatan dan rakan kongsi antarabangsa dari Kanada, Afrika Selatan, Finland, Venezuela, Jerman, Denmark dan Hong Kong.

Antara syarikat tempatan yang memeterai perjanjian itu adalah Worldwide Rights Corporation dengan Latin Media dari Venezuela yang akan membangunkan akademi animasi bagi melatih dan membekal peralatan termasuk perisian, selain menerbitkan tiga projek animasi secara bersama.

Tayang di 10 negara

Primeworks Studio dan syarikat Hong Kong, Lightning International menandatangani perjanjian hak pengedaran antarabangsa bagi filem terbitannya iaitu KIL, Sembunyi dan Istanbul Aku Datang.

Syarikat Malaysia, Anima Point akan bekerjasama dengan rakan kongsi dari Jerman, Trixter yang menghasilkan kesan khas filem Hollywood, Iron Man 3 bagi menerbitkan filem Hugo bersama dua lagi syarikat, Anima Vitae dari Finland dan Einstein Film (Denmark).

Ahmad Shabery berkata, industri kreatif negara juga mencatat kejayaan membanggakan tahun ini apabila syarikat tempatan, KRU Studios menerbitkan filem cereka, Vikingdom: The Blood Eclipse yang akan ditayangkan di 10 negara.

BoBoi Boy di Cannes

“Penyanyi tempatan Yuna pula muncul dalam permainan video popular, Grand Theft Auto 5 dengan lagunya, Live Your Life menjadi sebahagian album runut bunyi dengan lebih 15 juta unit terjual pada minggu pertama dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata, pada MIPCOM Junior baru-baru ini, 12 judul kreatif tempatan seperti BoBoi Boy, Origanimals, Super Squad, Rimba Racer dan Chuck Chicken ditayangkan kepada peserta termasuk pembeli dalam pasaran kandungan terbesar ini.

Annuar lancar ‘perang psikologi’

Kota Bharu: Keupayaan Tentera merampas trofi Piala Sultan Ahmad Shah dan memusnahkan rekod bersih mereka di laman sendiri jelas menghantui Kelantan menjelang perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang The Gladiators.

Perkara itu diakui sendiri Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa betapa skuad bimbingan B Sathianathan yang juga bekas jurulatih The Red Warriors (TRW) itu tidak boleh dipandang mudah menjelang separuh akhir pertama pada 19 Oktober ini.
 
Fokus minda

Annuar menerusi satu kenyataan dalam laman sosial Facebook turut menyifatkan Tentera pasukan lebih hebat daripada Johor Darul Takzim (JDT) dan mampu memusnahkan impian TRW mempertahankan mahkota keagungan bola sepak negara itu.

“TRW harus melupakan kejayaan menewaskan JDT kerana menanti kita adalah Tentera yang lebih hebat. Malah Tentera yang merampas Piala Sumbangsih dari kita di awal musim dan mereka juga yang menewaskan kita (di Stadium Sultan Muhammad IV) selepas hampir tiga tahun tidak pernah tewas di gelanggang sendiri.

“Tentera yang bakal menghalang kita. Kita tahu kekuatan dan kelemahan satu sama lain. Justeru, kita tumpukan minda kita kepada separuh akhir di tempat lawan dan seterusnya hari penentu pada 25 Oktober (separuh akhir kedua) nanti," katanya.

Annuar bagaimanapun yakin TRW mampu menjerat The Gladiators seperti yang dibuktikan ketika mereka bangkit bergaya membelasah JDT 6-1 di suku akhir kedua.

Tentera lebih selesa di Selayang

Kuala Lumpur: Kapten Tentera, Hairuddin Omar tampil mendedahkan suara hati rakan sepasukannya yang mahu aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Kelantan, 18 Oktober ini tetap dilangsungkan di Stadium Selayang, bukannya Stadium Shah Alam.

Menurut Hairuddin, andai perlawanan itu terus diadakan di Stadium Shah Alam, Tentera tidak akan mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, malah umpama beraksi kedua-dua perlawanan separuh akhir di gelanggang lawan.

“Dari perspektif pemain Tentera, kami tidak bersetuju dengan perubahan gelanggang ini kerana kami terpaksa berdepan ramai penyokong Kelantan untuk aksi pertama di Shah Alam (18 Oktober) dan juga pada aksi kedua di Kota Bharu (25 Oktober).


Mana-mana boleh gaduh

“Kenapa Tentera perlu memenuhi kehendak penyokong pelawat (Kelantan) yang ramai? Lihat saja Lions XII, stadium mereka pun kecil dan apabila bertemu pasukan lawan yang ramai penyokong sekali pun, mereka hanya beri peruntukan kecil bagi memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri tetap ada.

“Saya yakin Kelantan pasti tidak suka jika aksi pertama berlangsung di gelanggang keramat kami iaitu Stadium Selayang dan mereka pasti akan berasa lebih yakin beraksi di Stadium Shah Alam,” kata Hairuddin ketika dihubungi, semalam.

Tambah Hairuddin, andai soal keselamatan menjadi alasan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia mampu diatasi jika anggota keselamatan ditambah di Stadium Selayang.
“Kalau penyokong nak bergaduh, di stadium besar mana pun boleh berlaku. Jika main di Stadium Shah Alam, lagi ramai anggota keselamatan perlu diletakkan berbanding jika ditambah anggota keselamatan di Stadium Selayang.

“Tapi jika hendak meramaikan kehadiran penonton, bagi saya kenapa kami perlu memberi peluang kepada penyokong pasukan pelawat pula untuk datang lebih ramai ke gelanggang sendiri kami? Sudah tentu kelebihan beraksi di tempat sendiri tiada lagi,” jelas Hairuddin.

Kim Swee mahu masalah kontrak pemain selesai akhir bulan ini

KELANA JAYA: Pengendali skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee mahu masalah membabitkan kontrak pemain dapat diselesaikan sebelum akhir bulan ini supaya persiapan anak buahnya untuk mempertahan pingat emas di Sukan SEA Myanmar pada Disember, tidak terjejas.

Beliau berharap pemainnya tidak diganggu selepas mereka membuat keputusaan mengenai kontrak itu.
"Saya tidak mahu mereka (pemain) hilang fokus disebabkan perkara ini. Oleh itu, kita memberi peluang kepada beberapa pemain untuk membuat keputusaan sama ada ingin kekal bersama Harimau Muda A atau sebaliknya demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Sebelum ini, beberapa persatuan dan kelab bola sepak tempatan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain skuad bawah 23 tahun negara itu berikutan prestasi baik mereka dalam beberapa kejohanan, selain mereka turut didedahkan dengan latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah dalam tempoh yang panjang.

Kim Swee berharap enam pemain yang diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada ingin terus kekal bersama skuad Harimau Muda A atau sebaliknya, tidak tertekan dalam persiapan mereka menghadapi temasya di Myanmar.

"Setiap pemain diberitahu dari awal tentang apa yang perlu diutamakan dan apa objektif mereka berada dalam pasukan Harimau Muda. Saya fikir mereka tahu apa keputusaan dan perkara yang perlu diberi keutamaan," kata jurulatih itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata enam pemain yang diberi pilihan oleh badan induk itu ialah ketua pasukan Mohd Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Izham Tarmizi Roslan, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.
Beliau berkata, tiga pemain iaitu Izzaq Faris Ramlan, Muhammad Syahid Zaidon dan Muhamad Hazwan Rahman pula tidak dilanjut kontrak bersama Harimau Muda A kerana sudah melebihi 23 tahun.

"Walaupun pemain ini tamat kontrak atau memilih menamatkan kontrak, jika ada keperluan, FAM akan mempertimbang memanggil kembali mereka untuk mewakili negara ke cabaran Piala Asia di Australia pada 2015," katanya.

Hamidin berkata, FAM juga memperbaharui kontrak 17 pemain iaitu Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Mohamad Fandi Othman, R Gary Steven, Mohammad Amer Saidin, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan D Saarvindran.

Pemain lain ialah Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, Saiful Ridzuwan Selamat, Syahrul Azwari Ibrahim, Shahrul Mohd Saad, Mohd Farhan Abu Bakar, D Kenny Pallraj, Mohamad Firdaus Muhamad, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Adam Nor Azllin.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata skuad Harimau Muda A akan diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan persiapan mereka sebelum beraksi di Myanmar.

"Kita akan adakan empat perlawanan persahabatan semasa menjalani latihan di luar negara iaitu di Amman, Jordan pada awal November membabitkan dua perlawanan bersama pasukan kelab Jordan dan dua perlawanan menentang pasukan bawah 23 tahun Jordan," katanya.

Beliau berkata, sekembali ke tanah air pada 21 November, anak buahnya akan diuji menerusi dua perlawanan persahabatan berdepan kelab Divisyen Tiga Jepun, Ryukyu FC selain satu lagi perlawanan yang belum ditentukan.

Kim Swee berkata bagi mengisi kekosongan dalam skuad Harimau Muda A, beliau akan melakukan pemilihan dalam kalangan pemain muda dalam skuad Harimau Muda B dan C.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata beliau belum membuat keputusan berhubung kontraknya bersama FAM yang bakal berakhir Disember kerana memberi tumpuan membimbing pasukan Harimau Muda A menghadapi Sukan SEA Myanmar.

"Saya akan fikir tentang kontrak bila balik dari Myanmar," katanya.

Bernikah dengan Wawa: Aeril Zafrel akan jawab Jumaat ini

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Pelakon Aeril Zafrel, 26, akan mengadakan sidang akhbar khas Jumaat ini bagi menjelas dan menjawab segala kemelut yang melanda dirinya.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari yang ditemui pada lokasi penggambaran telefilem Cinta Mat Semperit di sini hari ini berkata, dia akan menjelaskan semua perkara pada hari Jumaat nanti.

"Semua perkara mengenai saya akan terjawab pada hari itu. Buat masa ini, saya tidak mahu membuat sebarang komen mengenai hal peribadi saya.

"Pada Jumaat ini, Wawa Zainal akan hadir sekali menjawab segala persoalan yang menjadi tanda tanya semua pihak," kata Aeril tegas.

Jelas pelakon drama bersiri Cinta Jannah itu, dia mengambil tindakan untuk berdiam diri ketika ini tanpa memberi sebarang komen tentang kemelut itu kerana bersebab.

Dua hari lalu, kecoh apabila sebuah akhbar memaparkan berita mengenai Aeril dan pasangannya, pelakon Wawa Zainal, 21, sebenarnya telah mendaftar pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 4 Februari lalu.

Malah mereka juga didakwa telah mempunyai seorang bayi lelaki bernama Ahmad Fakharuddin Attar yang dilahirkan pada 24 Ogos lalu di sebuah hospital di sini.

Sementara itu, pengurusnya, Shariman Wahab, mahu pihak yang melaporkan berita mengenai pernikahan dan kelahiran bayi yang didakwa sebagai anak pasangan tersebut tampil membawa salinan dokumen sebagai bukti pendedahan tersebut pada sidang akhbar berkenaan nanti.

"Saya tidak bermaksud untuk mencabar sesiapa tetapi jika pihak berkenaan berani menyiarkan berita sedemikian, mana bahan bukti untuk mengesahkan laporan itu," katanya.

Keputusan kurang subsidi tepung, gula ikut hasil kajian

Ayer Hitam: Keputusan melaksanakan pengurangan subsidi tepung dan gula, bergantung kepada hasil kajian yang sedang dijalankan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek, berkata apa juga keputusan diambil adalah bagi menjaga kestabilan ekonomi negara di samping kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, pelbagai faktor diambil kira sebelum sebarang keputusan diambil termasuk fiskal serta kedudukan mata wang negara dan paling utama kebajikan rakyat serta akan dilaksanakan jika dapat mengukuhkan ekonomi negara.


Jaga kestabilan ekonomi

“Sungguhpun keputusan diambil mungkin tidak popular, namun ia terpaksa dibuat bagi menjaga kestabilan ekonomi serta kesejahteraan hidup rakyat,” katanya selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di sini, semalam.

Hasan berkata, niat kerajaan hanyalah untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat perlu menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

Sementara itu, Hasan berkata, 101 KR1M sudah beroperasi di seluruh negara dengan 40 premis baru akan dibuka menjelang akhir tahun ini dan kementerian komited memastikan setiap kawasan Parlimen mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kemudahan kedai itu.

Hasan turut menafi dakwaan dan persepsi sesetengah pihak kononnya produk KR1M sebagai tidak berkualiti serta membahayakan pengguna, sebaliknya menegaskan semua mendapat pengesahan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Sebanyak 397 produk dipasarkan KR1M termasuk 360 produk makanan, selain produk kosmetik dan kualitinya setanding produk luar, malah menjalani pengawasan ketat Kementerian Kesihatan,” katanya.

Terdahulu ketika program Sembang Pagi Koperasi di Pagoh, Hasan berkata, pihaknya menyasarkan semua koperasi di negara ini dapat menyumbang lebih RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Katanya, sehingga 31 Ogos lalu bilangan koperasi didaftarkan dengan kementerian berkenaan berjumlah 10,713 dengan anggota seramai 7.57 juta berbanding 6,084 koperasi pada 2008.

Beliau yakin sasaran itu dapat dilaksanakan kerana ia disokong jumlah saham dan modal anggota koperasi sebanyak RM12.50 bilion, selain jumlah aset RM106.9 bilion yang dimiliki setakat ini.