Kuala Lumpur: Dalam tempoh 24 jam selepas videonya menjadi viral di
Internet, wanita yang didakwa bertindak ganas terhadap seorang lelaki
warga emas parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan pada Isnin
lalu menjadi ‘bahan kutuk’ warga media sosial termasuk mewujudkan akaun
Facebook (FB) khas semata-mata untuk mengecamnya.
Difahamkan, akaun FB milik wanita itu sudah ditutup berikutan
menerima kecaman pelbagai pihak namun disebabkan tidak puas hati, ada
individu tertentu mewujudkan akaun FB palsu menggunakan nama wanita itu
semata-mata mahu memberi ‘peluang’ pengunjung ‘membelasah’ dia.
Pemantauan Harian Metro mendapati sekurang-kurangnya terdapat dua
akaun FB khas diwujudkan untuk ‘membelasah’ wanita terbabit yang sudah
mendapati lebih 1,000 ‘likes’ dalam tempoh 24 jam.