ANGKARA SIAPA?

Kuala Lumpur: Siapakah yang menembak jatuh MH17 dan mengapa? Pelbagai pihak dan negara mula menuding ke arah lawan masing-masing, tetapi semua yang disyaki enggan mengaku.

Kerajaan Ukraine mendakwa pengganas pro-Russia menembak jatuh pesawat itu menggunakan peluru berpandu jenis Buk yang dibekalkan tentera Russia.

Presiden Russia, Vladimir Putin pula menyalahkan kempen ketenteraan Ukraine terhadap kumpulan pemisah sebagai punca kejadian.

Katanya, tragedi itu tidak akan berlaku jika tiada operasi ketenteraan oleh kerajaan Ukraine dan menambah “yang jelas kerajaan yang menguasai wilayah itu mesti bertanggungjawab terhadap tragedi yang menakutkan ini”.

Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pula memihak Ukraine dengan berpendapat Ukraine tidak mempunyai keupayaan untuk menembak jatuh pesawat.

Bagaimanapun, yang jelas ketiga-tiga pihak iaitu Russia, Ukraine dan pemisah pro-Russia itu memiliki peluru berpandu Buk.