Kuala Lumpur: Pujukan rakan sebaya dipercayai menjadi punca seorang
remaja perempuan yang juga pelajar cemerlang, Nor Fatin Abdul Halil, 16,
melarikan diri dari rumah sejak 21 Mei lalu.
Difahamkan remaja terbabit meninggalkan rumah didiami di Kampung
Padang Tembak Dalam, Teluk Intan, Perak, sehelai sepinggang tanpa
membawa pakaian dan MyKad.
Bapa saudara remaja terbabit, Mohd
Suhaimi Mohd Ismail, 35, berkata, kehilangan Nor Fatin disedari oleh
bapanya ketika dia mahu mengejutkan anak saudaranya itu untuk ke sekolah
sekitar jam 6 pagi.
Menurutnya, bapanya bagaimanapun terkejut apabila mendapati Nor Fatin tidak berada di dalam bilik itu.
“Lebih menghairankan apabila pakaian dan Mykad miliknya anak saudara itu langsung tidak diusik.
Susulan itu kami segera membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, Perak.
“Kami sekeluarga kemudian berusaha mencari Nor Fatin termasuk bertanya kepada rakan-rakan sekolahnya.
Puas kami mencarinya termasuk dan mencari di rumah saudara-mara serta rakan-rakannya tetapi gagal,” katanya.
Dia berkata, kehilangan remaja itu turut menimbulkan tanda tanya kepada guru sekolah tempat anak saudaranya belajar.
“Guru sekolah itu memberitahu Nor Fatin adalah seorang pelajar yang
cemerlang, rajin belajar serta tidak mempunyai masalah disiplin.
Pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mengesannya namun menemui jalan buntu.
“Ada rakan-rakan memberitahu pernah ternampak Nor Fatin di Seremban
dan ada juga yang mendakwa pernah melihat di Melaka bersama seorang
remaja lelaki.
Mereka cuba untuk mengejarnya tetapi gagal,” ujarnya.
Suhaimi berkata, mereka sekeluarga sangat bimbang terhadap keselamatan
anak saudaranya itu lebih-lebih lagi Nor Fatin adalah anak yatim piatu
selepas kehilangan ibu dan bapanya sejak tiga tahun lalu.
“Sesiapa yang menjumpai Nor Fatin diminta supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.