KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak, yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama blogger dan
pengamal media dalam talian, dilihat hanya sempat menjamah buah kurma
sahaja apabila menerima panggilan beberapa pemimpin dunia susulan nahas
pesawat Malaysia Airline (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine.
Sebaik sahaja berbuka puasa di perkarangan Masjid Al-Muhammadi,
Angkasapuri di sini, perdana menteri menerima panggilan daripada
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.
Najib dilihat bercakap mengenai tragedi MH17 itu kira-kira 10 minit dengan Ban, sebelum beliau menunaikan solat Maghrib.
Selesai menunaikan solat Maghrib, beliau menerima panggilan daripada Presiden Rusia Vladimir Putin pula.
Pada mulanya, Najib dijadualkan membuat perutusan khas mengenai MH17
menerusi RTM1 pada 8.10 malam tadi, namun terpaksa menangguhkannya ke 11
malam ini berikutan panggilan beberapa pemimpin dunia itu.
Terdahulu, ketibaan Najib disambut warga kerja Kementerian Komunikasi
dan Multimedia yang diketuai menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.
Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal adalah dalam
perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di
Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Ia berlepas dari Amsterdam
pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijangka tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi (waktu Malaysia)
Jumaat.