Kuala Lumpur: Sudahlah ditipu ejen pekerjaan yang menawarkan gaji
lumayan, sebaik tiba ke negara ini ia mereka turut didera majikan
sehingga ada yang tergamak mencurah air panas dan memaksa mereka memakan
makanan basi.
Itu nasib dua wanita warga India yang menerima layanan buruk
daripada majikan mereka sebaik tiba ke Malaysia selepas mendakwa ditipu
oleh ejen pekerjaan selain pasport mereka turut dirampas oleh ejen
sebaik mereka tiba di Malaysia.
Menceritakan detik hitam
itu, Sweeta, 27, memberitahu pada mulanya dia berasa berat hati untuk
datang ke Malaysia bagi mencari rezeki bagaimanapun, demi mencari wang
bagi membiayai kehidupan keluarga selain turut ingin mencari wang bagi
merawat adik tirinya yang mempunyai masalah mental dia membuat keputusan
untuk datang negara ini.
Pertemuan dengan seorang ejen pekerjaan di Selatan India selepas
diperkenalkan oleh saudaranya pada enam bulan lalu ternyata bertukar
menjadi mimpi ngeri dalam hidupnya.
“Dia (ejen) pekerjaan
memberitahu saya akan mendapat kerja dengan gaji yang lumayan sebaik
datang ke Malaysia. Saya hanya perlu menjaga kanak-kanak dan diberikan
gaji sehingga RM2,000.
“Saya dibawa masuk ke Malaysia
menggunakan pas lawatan sosial sebelum ejen pekerjaan berjanji akan
menukarkan ia kepada pas bekerja selepas saya bekerja beberapa bulan di
negara ini. “Namun, semuanya hanya janji tinggal janji apabila sebaik
saya tiba ejen terus menghantar saya kepada majikan dan turut merampas
pasport saya,” katanya kepada Harian Metro selepas berjaya diselamatkan
oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di sini.
Sweeta memberitahu, dia mula didera dan dilayan seperti binatang
oleh majikannya selepas sebulan bekerja di sebuah rumah di ibu negara
apabila dia bertanyakan mengenai gajinya.
Gadis malang itu
mendakwa, dia sering dipukul dan dipaksa memakan makanan basi oleh
majikannya gara-gara lambat menyiapkan kerja rumah selain turut diarah
tidur di lantai dapur.