Lisa Turut Rasa Simpati Penderitaan Gaza


Tidak dinafikan lagi, selebriti terkenal turut terkesan dengan peperangan yang sedang melanda bumi Gaza. Ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Astro, Lisa Surihani turut berkongsi simpati terhadap apa yang sedang berlaku di tanah Palestin. Menurutnya lagi, setiap kali melihat laman sosial mengenai penderitaan mereka, rasa sebak dan sayu terus menyelubungi perasaan dirinya apatah lagi apabila melibatkan anak-anak kecil.

Hanya doa dapat dikirimkan selain bersyukur kerana dapat hidup di bumi yang bertuah kini. Lisa Surihani, turut berharap agar segalanya dapat dipulihkan dengan segera. Sementara itu, isteri kepada Yusry ini turut berkongsi cerita mengenai persiapan Ramadhan ketika ini dan Syawal yang bakal menjelma kelak.

Ramadhan pada kali ini merupakan bulan yang penuh bermakna memandangkan dia tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem ataupun drama. Masa yang terluang digunakan sebaiknya bersama rakan-rakan dan lebih banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.

Mengenai persiapan Syawal pula, Lisa seperti setiap tahun akan memilih secara besederhana ketika membeli belah. Dia lebih gemar fokus kepada pakaian yang dipakai di pagi raya selain dari menu juadah kerana mereka sekeluarga akan pulang berhari raya di Gopeng, Perak sebelum pulang ke ibu kota pada minggu yang seterusnya. Perancangan untuk membuat rumah terbuka turut belum diputuskan dan akan dimaklumkan kepada pihak media selepas diputuskan kelak katanya sebelum mengakhiri perbualan.