Kuala Lumpur: Gelandangan dan pengemis warga asing dan tempatan di
bandar raya ini kini tidak lagi memilih lorong yang menjadi laluan orang
ramai meraih sedekah, sebaliknya memilih institusi keagamaan sebagai
lubuk utama mereka.
Tinjauan BH di sekitar Chow Kit di sini,
mendapati ramai daripada golongan itu sanggup datang dari jauh
semata-mata untuk mendapatkan keuntungan daripada sedekah orang ramai di
dalam masjid selain tidak mahu dikesan ahli keluarga dan pihak
berkuasa.
Lebih mengejutkan, jemaah warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang
hadir ke masjid di sini turut menggunakan kesempatan itu untuk meraih
sedekah tanpa rasa segan silu selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
Seorang mualaf daripada gelandangan ketika ditemui di
pekarangan Masjid Jamik Pakistan, di Jalan Raja Muda, Suzana Manogari
Abdullah, 56, berkata dia menjadikan kawasan itu sebagai lokasi wajib
meraih sedekah pada setiap Jumaat demi meraih hasil sedekah lebih
banyak.