KUALA KANGSAR: Keluarga juruterbang MH17 berharap
jenazah Kapten Wan Amran Wan Hussin dapat dibawa pulang untuk
dikebumikan di kampung mereka di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar,
Perak.
Menurut anak-anak saudaranya, mereka masih menanti
kepastian mengenai senarai mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di
timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia.
Menurut Nur Sufizah
Duzuki, Kapten Wan Amran yang mereka panggil Ayah Ran memang rapat
dengan anak-anak saudaranya dan cukup sinonim dengan angka tujuh.
“Dia memang pemurah, baik hati, rendah diri walaupun dia tu orang kata
berpelajaran dan ‘low profile’ serta orang tidak menjangkakan bahawa
beliau adalah seorang juruterbang,” katanya.
Kata Nur Sufizah, angka tujuh seperti amat bermakna bagi diri bapa saudaranya itu.
Nur Sufizah juga berkata dia tidak menyangka bahawa ‘Ayah Ran’ yang
bekerja di atas kapal terbang akan meninggal di dalam pesawat.
Katanya lagi, Ayah Ran juga seorang yang berpengaruh di dalam keluarganya dan sering mejadi rujukan mereka.
Seorang lagi anak saudara Kapten Wan Amran, iaitu Nor Suazlin Duzuki
pula memberitahu bapa saudaranya itu seorang yang amat taat suruhan
agama, merendah diri dan sentiasa mengutamakan keluarganya.
Katanya Kapten Wan Amran juga dikatakan telah menelefonnya untuk
bertanya khabar sambil memberitahu bahawa beliau akan melawat mereka
pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Nor Suazlin ketika ditemui di
Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar berkata, pakciknya itu juga
sempat membina sebuah rumah sebagai hadiah kepada arwah ibunya yang
mennjadi peninggalan terakhir Kapten Wan Amran untuk mengumpulkan ahli
keluarganya.
“Saya rapat dengan bapa saudara saya itu, dan dia
juga rapat dengan saya. Dia murah hati dan penyayang tidak kira
siapa-siapa pun.
“Memang terkejut sangat la tadi tengok berita
rasa macam tak percaya sangat selagi tak tengok muka dia tak keluar
dekat suratkhabar. Tiba-tiba pagi tadi beli suratkhabar memang betul sah
muka dia dengan nama dia sekali tertera,” katanya.
Tambahnya, bapa saudaranya itu sentiasa mengambil berat tentang dirinya.
“Tambah pula saya nak dekat bersalin ni dia kata cukup ke duit tu… dia memang sentiasa ambil berat,” kata Nor Suazlin.
Katanya lagi, simpati yang selama ini dirasai selama ni ketika melihat
mangsa pesawat MH370 telah dapat difahami apabila tragedi yang sama kena
pada ahli keluarganya.
“Barulah saya faham masa tu perasaan
famili orang lain… macam mana sedih kehilangan orang yang paling kita
sayang tambah tambah lagi isteri kepada Ayah Ran tidak bekerja,”
katanya.
Menurut Nur Suazlin lagi, Wan Amran yang mempunyai
dua anak kecil sentiasa memastikan keluarganya dalam keadaan baik.