Gerik : Seorang remaja maut selepas lif pemunggah barang menghempap
bahagian kepalanya dalam kejadian di sebuah kedai ubat di sini kira-kira
jam 7.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Manab Baharom berkata, mangsa
Noor Syarmila Abu, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat
pendarahan teruk.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan oleh rakan sekerja mangsa berhubung kejadian itu sebelum segera ke tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang baru
bekerja beberapa minggu lalu tertekan butang ketika berada hampir dengan
lif pengangkut barang itu menyebabkan menghempap bahagian kepalanya.
"Mangsa berasal dari Kampung Bandariang Bersia di sini difahamkan
akan menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan pada September
ini," katanya.
Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah
siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk pengebumian.
Katanya, tiada unsur jenayah ditemui berhampiran kawasan kejadian; walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.