Kuala Lumpur: Tindakan berani seorang wanita menggertak dan mengambil
gambar dua penjenayah cuba mencuri kenderaan yang menyamar sebagai
pekerja agensi tarik kereta menyebabkan suspek melarikan diri.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa yang berusia 32 tahun
hampir dirompak penjenayah ketika berada di kawasan meletak kenderaan
sebuah pusat beli-belah di Selayang, Gombak.
Mangsa yang
hanya mahu dikenali sebagai Zeti, berkata, kejadian berlaku ketika dia
sedang memandu kereta Perodua Kelisa bersendirian untuk membeli barang
dapur.
Menurutnya, kereta dipandunya secara tiba-tiba dipintas dan dihadang sebuah kereta Perodua Viva dinaiki dua suspek terbabit.
Dia berkata, dua lelaki yang dianggarkan berusia pertengahan 30-an itu
secara tiba-tiba mengarahkannya keluar daripada kenderaan dan
menyerahkan kunci kereta.
“Seorang suspek memberitahu bahawa
dia ditugaskan pihak bank untuk merampas kereta itu kerana saya gagal
membayar ansuran bulanan. “Saya yang terkejut dengan arahan lelaki
itu terus mengajaknya berbincang di pintu masuk pasar raya itu. Saya
berasa sangsi kerana kereta itu tidak lagi terikat dengan pinjaman bank
berikutan semua baki ansuran sudah dijelaskan,” katanya ketika ditemui
di Balai Polis Sentul di sini, semalam.
Tidak puas hati dengan tindakan suspek yang cuba memperdayakannya,
Zeti meminta suspek menunjukkan surat arahan dari bank bagi menarik
kereta itu selain memberitahu nama pemilik sebenar kenderaan dipandu.
“Malangnya suspek gagal menunjukkan sebarang bukti dokumen selain
memberitahu nama sebenar pemilik kereta ini,” katanya, Bagaimanapun,
tembelang kedua-dua penjenayah terbongkar apabila seorang suspek
berpura-pura menelefon seorang `pegawai bank’ dan bertutur dalam bahasa
Tamil.
“Dia mendakwa mendapatkan maklumat daripada pegawai bank yang
mengarahkan kereta saya ditarik. Namun saya tambah pelik apabila dia
memberitahu bahawa pegawai bank itu bernama Faizal sedangkan dia berbual
dalam bahasa Tamil.
“Saya kemudian bertindak berani
mengeluarkan telefon bimbit dan merakam gambar suspek dan kereta
dipandu. Tindakan saya itu menyebabkan penjenayah tersentak seketika,”
katanya.
Terkejut dengan tindakan mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri dari lokasi kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy
ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata
siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya berhubung kejadian itu.