MOSCOW: Seorang wartawan Rusia yang ditugaskan di
London mengumumkan meletak jawatan dari tugasnya atas alasan sangat
kecewa dengan cara liputan yang disiarkan oleh majikannya stesen
televisyen RT (Russian Today) berkaitan pesawat Penerbangan Malaysia
MH17 yang terhempas Khamis lalu.
Sara Firth adalah wartawan
kedua dari stesen televisyen berbahasa Inggeris itu yang meletakkan
jawatan. Mac lalu seorang lagi wartawan meletakkan jawatan dengan alasan
kecewa dengan liputan stesen itu berkenaan krisis di Ukraine.
“Saya meletakkan jawatan hari ini. Saya sangat menghormati rakan setugas
saya tetapi berpegang kepada kebenaran,” kata Firth menerusi laman
Twitternya @Sara_Firth.
Sementara itu stesen RT yang dibiayai
kerajaan Rusia dalam reaksinya kepada AFP berkata “Firth telah meluahkan
pendiriannya yang memilih kebenaran tetapi pihak kami mempunyai versi
tersendiri mengenai maksud sebenar kebenaran”.
“Kami percaya
kebenaran adalah dari kaca mata wartawan kami di lapangan dan bukan apa
yang dilaporkan oleh akhbar di London,” kata Anna Belkina seorang
jurucakap stesen itu menerusi e-mel.
Tambahnya, RT tidak
terkejut dengan keputusan Firth itu kerana wartawan itu dikatakan pernah
menyuarakan hasrat untuk bertukar kerja.
Perletakan jawatan
Firth adalah insiden terbaru yang dihadapi oleh RT susulan banyak
kritikan dan bidasan yang dilemparkan terhadap stesen itu terutamanya
menerusi laman Twitter.
Firth membuat kenyataan selepas seorang
blogger menuduh rakan sekerjanya, Polly Boiko mengambil rasuah untuk
membantu menyebarkan penipuan Presiden Rusia Vladmir Putin mengenai
perkara sebenar yang berlaku terhadap pesawat Penerbangan Malaysia MH17
yang terhempas di timur Ukraine pada Khamis.
“Apa yang yang telah saya sebarkan?” tanya Boiko dalam reaksi balasnya.
“Penipuan,” jawab Firth. “ Kami (wartawan) sememangnya bekerja untuk
Putin. Kami diminta setiap hari untuk melaporkan perkara yang tidak
benar.
“Kami hanya makan gaji dan kerana itu kami harus mematuhinya,” tambahnya.
Firth juga menukar nama akaun Twitternya @SaraFirth_RT bagi mengelak dari dikaitkan dengan saluran televisyen itu lagi.
Laporan terakhirnya dari London adalah Selasa lalu.
Amerika Syarikat sebelum ini berkata mereka percaya pesawat MH17
ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu oleh kumpulan pemberontak
Ukraine.
Stesen RT bagaimanapun melaporkan pihak Ukraine yang
harus dipersalahkan dengan mendakwa peluru berpandu telah dilancarkan
oleh negara itu tanpa memaklumkan sistem terbabit juga berkemungkinan
digunakan pihak kumpulan pemisah.
RT sememangnya menjadi
tumpuan atas laporannya yang ternyata berat sebelah dan cenderung kepada
Moscow terutamanya berkaitan krisis di Ukraine.
Mac lalu wartawannya, Liz Wahl membuat pengumuman meletak jawatan sewaktu satu siaran langsung.
RT sebaliknya menuduh Wahl hanya cuba mempromosi diri.