‘Saya tak salah’

Ampang: Penyanyi rock terkenal, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Rozana Misbun di Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini, 2 Jun lalu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman. Vokalis kumpulan Wings itu yang memakai jaket hitam hadir ke mahkamah dengan jaminan polis ditemani beberapa rakannya, termasuk ahli kumpulan rock terbabit, Joe dan Eddy.

 Mengikut pertuduhan, dia yang pernah menjadi pelakon utama filem Sembilu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana, 36, jam 1.30 tengah hari pada 2 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang di sini. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam Hazman Harun yang mewakili Awie memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan. Ayuni Izzati kemudian membenarkan penyanyi rock itu diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin selain menetapkan 11 Ogos depan sebagai sebutan semula.