Maya Karin Tampilkan Ahli Keluarga Dalam Video Klip


Bagi yang tidak tahu, Maya Karin mempunyai sebuah lagu raya berjudul 'Pulang' yang dirakam tahun lepas. Lagu ciptaan Omar K ini berentak rancak dan sesuai untuk diperdengarkan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Maya sendiri suka akan lagu ini. "Saya suka lagu ini terutama bunyi lagu ini. Omar K memberi kebebasan kepada saya ketika kami merakam lagu ini. Saya juga mengharapkan semua sukakan lagu ini dan juga saya amat berharap lagu Pulang akan sentiasa dimainkan sampai bila-bila seperti lagu Raya yang lain".

Bercerita mengenai video klip ini, menurut Maya pengambaraan video klip ini agak last minute. "Video klip ini dilakukan  agak last minute. Jadi setelah berbincang denga pihak Warner Music, saya bagi cadangan buat di rumah saya dan panggil kesemua ahli keluarga untuk menjadi pembantu dalam video klip itu. Haa hasilnya anda lihatlah. Happening ahli keluarga saya! Saya gembira dapat melibatkan mereka dalam video klip saya".

Maya menambah, dengan menggunakan ahli keluarganya dalam video klip tersebut, ia memudahkan pengambaraan dan juga sudah ada keserasian antara mereka.

Maya ada cerita menarik ketika menyambut Hari Raya. "Kisah ini memang saya ingat sehingga kini. Masa itu umur saya 7 tahun. Ibu saya buat baju raya khas untuk saya. Ibu jahit sendiri. Tapi saya ini jenis lasak, jadi tidak sampai sejam baju itu sudah koyak. Nak tak nak, saya beraya dengan baju yang koyak", cerita Maya yang suka memakan lontong di pagi Raya.

Dalam perkembangan lain, bulan September adalah bulan bagi Maya Karin. Ini kerana bulan tersebut Maya akan sibuk dengan filem terbarunya iaitu Lagenda Budak Setan 3 dan juga pementasan Supermokh 2. Sibuk sungguh Maya Karin bulan September nanti ya. Buat peminat Maya Karin jangan lupa tanda tarikh untuk bertemu Maya di layar perak atau di pentas teater nanti!