Hafiz Berjimat Cermat Untuk Raya Tahun Ini
By Info Blog at 5:17 PG
Bertemu dengan penyanyi bersuara hebat di majlis berbuka puasa dan sidang media memperkenalkan barisan pelakon untuk alih suara filem Despicable Me 2, Hafiz, nampak wajahnya berseri-seri. Al maklumlah orang tengah dilamun cinta. Kita tinggalkan kisah tersebut, apa kata kita bercerita mengenai watak yang dilakonkan oleh Hafiz dalam filem Despicable Me 2.
“Watak kali ini berbeza dengan watak saya sebelum ini yang mana saya perlu berlakon secara serius. Saya memegang watak sebagai Antonio yang memerlukan saya berlakon secara macho, cool dan serius. Saya ini berkarakter yang happy go luck jadi dengan watak sebgitu saya perlu belajar. Saya buat rujukan dengan menonton semula filem tersebut. Saya lihat bagaimana cara pembawakan watak tersebut”.
Sebenarnya Hafiz telah banyak berlakon tetapi hanya alih suara. Hafiz lebih selesa berlakon alih suara daripada berlakon sebenar kerana ia lebih menyeronokkan. Tetapi ini tidak bermakna Hafiz menjadikan bidang alih suara ini sebagai bidang utamanya kerana bidang utamanya tetap nyanyian.
Pada bulan puasa pula Hafiz kurangkan persembahan tetapi jika ada undangan dan kena dengan masanya dia akan terima juga. “Memandangkan saya ada restoran sendiri, jadi masa ini saya utamakan kepada restoran saya. Sebelum ini saya sibuk sangat jadi bila bulan puasa ini, saya kurangkan sedikit persembahan, hanya hadir jika perlu sahaja. Jadi adalah masa untuk saya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan saya serta untuk bersama keluarga. Ahli keluarga saya semua di sini sekarang. Jadi bulan puasa memang kami berkumpul di kedai. Kiranya restoran sudah jadi tempat berkumpul”.
“Persiapan Hari Raya untuk tahun ini pula, saya hanya buat ala kadar sahaja. Berjimat cermat itu lagi elok. Kami sekeluarga akan berpakaian sedondon”, kata Hafiz yang bakal beraya bersama kekasihnya juga.
Menyentuh sedikit mengenai peperangan yang sedang melanda Gaza, Hafiz turut berkongsi rasa sedih. “Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Apa yang boleh kita buat adalah banyakkan berdoa agar Allah melindungi penduduk Palestin. Saya berasa sakit hati juga melihat dengan apa yang berlaku. Walaupun kita tidak dapat membantu secara tenaga dan fizikal tetapi berdoa dan menghulurkan bantuan dari segi kewangan, InsyaAllah itu sedikit sebanyak boleh membantu”.