Krisdayanti Tampilkan Segmen Broadway...


Krisdayanti bukan nama asing bagi penggemar muzik tanahair. Penyanyi tersohor Indonesia ini ramai pengikutnya di Malaysia. Disebabkan itu pada 22 November, Konsert Krisdayanti Live In KL 2014 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Bakal membawakan lagu popularnya, sedikit sebanyak memeningkan Kris kerana perlu memilih lagu yang sesuai dalam masa dua jam persembahan berlangsung nanti.

"Pening juga memilih lagu untuk malam itu nanti. Cumanya, saya akan buat empat segmen. Salah satunya berbentuk broadway di mana lagu seperti Pilihlah Aku, Mahadaya Cinta, Mencintaiku, Tak Sanggup, I'm Sorry Goodbye, Penasaran itu dipilih untuk dijadikan medley. Ia idea saya. Saya mahu penonton merasai gerakan cerita daripada lagu-lagu itu nanti. Kemudian segmen tribute kepada seniman agung,  Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Semasa perbincangan dilakukan, secara automatik lagu Getaran Jiwa dipilih untuk dinyanyikan. Lagu ini belum pernah saya bawakan. Lagu-lagu Allahyarham begitu dekat dengan jiwa saya seolah-olah seperti perasaan saya sendiri".

Pemilihan Hafiz seperti benar-benar bertepatan untuk konsert KD ini. KD sendiri tidak sabar untuk berduet bersama Hafiz. "Pertama kali mendengar namanya, saya tahu dia seorang penyanyi popular. Lagi-lagi dia baru menang di APM bersama Rossa. Saya melihat Hafiz seorang yang penuh sopan santunnya, tidak tinggi diri, menghormati orang. Pastinya penampilan Hafiz sebagai teman duet saya nanti memberi tarikan luar biasa. Lagi pula kami akan berduet lagu Cinta yang selalunya berduet bersama penyanyi wanita. Tetapi kali ini dengan penyanyi lelaki. Pastinya ada perubahan muzik di situ".

Menyentuh mengenai anaknya Aurel yang juga akan berduet pada konsert tersebut, khabarnya sedang hangat bercinta. "Oh ya. Saya pun hairan macam mana cerita itu keluar. Tetapi Aurel ada mengirim gambar kekasihnya itu kepada saya. Saya cuma nasihat kepadanya agar sentiasa berwaspada dalam melakukan apa sahaja. Paling utama jangan memalukan kedua orang tua".

Walaupun media tempatan dilihat memberi liputan meluas bagi konsert KD ini tetapi ada juga pihak tertentu yang tidak bersetuju sehinggakan kisah lama KD diungkit kembali.

"Ya, saya tahu perkara itu. Saya tidak tersinggung kerana itu adat, bukan? Ada yang suka dan pastinya ada yang tidak suka sama kita. Saya memang sebegini, jujur dan terbuka dalam bercerita mengenai kisah hidup saya. Saya tidak mahu dianggap sebagai hipokrik. Saya juga manusia biasa. Cumanya jika kisah lampau itu tidak perlu diungkitkan lagi ini kerana dia pun mungkin tidak tahu kebenaran yang sebenar. Pada saya dia tidak gentel kerana mengunakan nama samaran. Tetapi tidak mengapa, yang paling utama saya berkarya dengan bagus dan sentiasa berbuat baik.", jawab KD tenang.