Hafiz Pilih Penyanyi Bertaraf Diva Untuk Berduet


Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, ibaratnya perasaan Hafiz Suip apabila bakal berkongsi pentas bersama Kris Dayanti bagi konsert Krisdayanti Live in KL 2014. Hafiz terkejut apabila dia terpilih untuk menjadi penyanyi jemputan pada 22  November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Saya memang sangat terkejut dan dalam masa yang sama saya teruja untuk berduet dengan penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti. Ini pertama kali saya bertemu KD dan saya masih tidak percaya akan berduet dengan KD", kata Hafiz yang sebenarnya masih gementar bertemu KD.

Menurut Hafiz dia akan mengambil kelas vokal bersama Cikgu Shafi sebelum konsert berlangsung. "Banyak benda saya perlu belajar dan ulangkaji lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan vokal. Saya akan memasuki kelas vokal dengan Cikgu Shafi bagi memantapkan vokal saya. Peluang sebegini bukan senang nak dapat jadi saya perlu tonjolkan bakat saya juga. Selain dari itu ia menambahkan lagi profile saya sebagai seorang penyanyi".

Hafiz akan berduet bersama KD menerusi lagu Cinta dan Ombak Rindu dan sebuah single daripadanya. Jika dilihat, Hafiz bertuah kerana dia bukan sahaja dapat berduet dengan KD malah penyanyi yang bernama besar lain seperti Dato Rossa dan Dato Siti Nurhaliza. Adakah Hafiz hanya mahu berduet dengan penyanyi yang bertaraf diva? Disebabkan itu juga Hafiz dilabelkan sebagai penyanyi yang mempunyai nama besar.

"Tidaklah begitu. Mungkin ia rezeki buat saya. Saya pun tidak sangka dapat berduet dengan nama-nama besar sedangkan saya baru lima tahun berada dalam industri. Saya masih lagi bertatih dari semasa ke semasa. Kalau ada yang mengatakan nama saya sudah besar, tidak mungkin. Ramai lagi yang hebat dari saya. Saya tidak tertekan dengan perkataan "besar" itu. Saya ambil ia dari sudut positif untuk memotivasikan diri dalam bidang nyanyian dengan lebih baik lagi", tutur Hafiz.

Berduet dengan penyanyi Indonesia bukannya mudah. Apabila dapat berduet, sedikit sebanyak penyanyi Malaysia mendapat tempat di Indonesia. "Sebenarnya memang strategik saya untuk mengembangkan bakat di sana. Umum mengetahui agak sukar untuk penyanyi Malaysia menerpa nama di sana. Alhamdullilah semasa promosi album ke sana, semua berjalan dengan lancar. Cumanya pasaran di sana memang sangat besar dan persaingan sangat kuat. Kira bertuah sesiapa dapat ke sana", katanya Hafiz yang bakal berduet dengan Misha Omar.

Baru-baru ini Hafiz mengikuti keluarga kekasih hatinya bercuti di Perth, Australia. Nampak gayanya seperti makin dekat sahaja hari bahagia Hafiz.

"Saya ke sana mengikut keluarga si dia. Bercuti sambil bekerja. Yang bekerja itu bapa si dia. Alhamdulillah ahli keluarga merestui. Tetapi perancangan untuk ke gerbang perkahwinan itu belum lagi. Cuma yang boleh saya katakan, kami akan bertunang terlebih dahulu. Bila tarikhnya itu saya tidak berani nak beri jawapan".