KEMBARA Ajak Muda-Mudi Hayati Muzik Mereka


Ingatkah anda dengan lagu Keroncong Untuk Ana, Gerhana, Ekspres Rakyat, Hati Emas dan sebagainya? Buat julung kalinya kumpulan yang terkenal dengan lagu rakyat dan art rock ini bersatu di pentas Istana Budaya pada 21 sehingga 23 November ini. KEMBARA diterajui oleh Dato' M.Nasir, A.Ali, S.Sahlan, Zoul, Md Shah dan Cheman menjanjikan kelainan dalam Konsert Hati Emas Kembara itu nanti.

Menurut Dato'M.Nasir, mereka mengutamakan persembahan yang disampaikan pada malam tersebut. "Lagu yang akan dipersembahkan itu nanti sudah mempunyai maksudnya tersendiri. Penceritaan kepada konsert itu pula semestinya dari lirik dan lagu, kemudian vokal harmoni kami. Paling utama adalah gaya persembahan yang akan kami bawakan dengan cara yang tersendiri. Selain dari itu ia juga akan dibantu oleh visual bagi lebih menarik lagi".

Kembara sebenarnya sudah berada dalam industri muzik tanahair selama 30 tahun dan ini adalah konsert yang jarang dibuat. Ini kerana dua generasi Kembara akan bersama-sama pada konsert tersebut. "Kami akan bersama-sama semasa membuat persembahan di pentas nanti. Tidak ada istilah Kembara yang lama mahupun yang baru. Saya kiranya boleh dikatakan paling muda antara mereka, saya mahu bukan sahaja peminat-peminat Kembara yang dahulu tetapi peminat yang masa kini turut menghayati muzik Kembara. Rasanya muzik Kembara boleh diterima oleh muda mudi masa kini", kata Zoul adik kepada Dato'M.Nasir.

Tambah Dato' lagi, lagu-lagu Kembara itu sendiri masih ada tempat di hati peminat. "Lagu-lagu Kembara itu sememangnya ada soul nya, sentiasa diperdengarkan di corong-corong radio dan sebagainya. Ya, akan ada sedikit pertukaran arrangement pada lagu tetapi peminat lebih suka mendengar lagu asal yang dirakam yang tidak ada perubahan pada lagu. Kami akan cuba mungkin dengan tambahan muzik-muzik yang lain menjadikan ia berbeza dan digemari. Kami masih mampu untuk membuat persembahan berskala besar ini dikhalayak. Kami mahu penggemar muzik kami datang dan yang muda mudi turut bersama-sama kami nanti".

Pada sidang media itu juga, poster konsert telah diperlihatkan. Poster tersebut dilukis oleh S.Amin Shahab yang mengambil masa selama 10 hari untuk disiapkan. Poster itu mempunyai maksud yang cukup mendalam dan juga menceritakan perjalanan dan melambangkan kumpulan Kembara itu sendiri.

Konsert Hati Emas Kembara akan berlangsung selama lebih kurang dua jam itu bukan sekadar bermain muzik serta melontar keharmonian suara sahaja, malah turut divisualisasikan melalui audio dan video mapping bagi menimbulkan mood serta karakter lagu dan persembahan itu sendiri bagi melayari nostalgia penonton. Tiket-tiket berharga RM68, RM98, RM188, RM258, RM328 dan RM388 boleh didapati di www.ticket2u.biz atau di Istana Budaya.