Menjerit punggung dibedil


Kota Bharu: "Tolong, aku kena tembak ni." Jerit Syed Zainuddin Syed Noh, 52, kepada Azwan Mohd Noor, 25, saksi kejadian tembakan di Lorong Nyior Cabang dekat Berek 12, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam, mangsa yang juga seorang pegawai di syarikat keselamatan, terkena dua das tembakan dari arah belakang ketika menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa yang parah di belakang badan dan punggung dikejarkan penduduk kampung ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk rawatan lanjut dan dilaporkan masih kritikal.

Menceritakan kejadian itu, Azwan berkata, dia dalam perjalanan ke kedai berhampiran untuk membeli roti sebelum ternampak seorang lelaki tertindih motosikal yang awalnya disangka akibat kemalangan kecil.

"Bagaimanapun, apabila dia melaung ke arah saya dan memberitahu ditembak, saya terus meluru ke arahnya dan terkejut melihat dia dalam keadaan berlumuran darah.