Antara banyak-banyak karya pengarah Mamat Khalid, 51, telefilem
berjudul Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel yang ditayang kira-kira 16
tahun lalu antara yang paling diingati.
Judul yang ringkas itu sudah cukup bagi menggambarkan unsur komedi
yang dipaparkan, sekali gus membuatkan ia diingati selain jalan
ceritanya yang mencuit hati dan mengandungi mesej tersendiri.
Idea Mamat memang berbeza dan kerap tampil dengan kelainan yang di luar jangkaan.
Terbukti, dia juga mampu mengangkat satu karakter hingga meninggalkan kesan di hati penonton seperti watak Cik Kiah lakonan Delimawati itu.
Terbukti, dia juga mampu mengangkat satu karakter hingga meninggalkan kesan di hati penonton seperti watak Cik Kiah lakonan Delimawati itu.
Kesinambungan daripada telefilem itu, bakal menyusul pula adalah
sekuelnya yang berjudul Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya yang akan
ditayangkan di Astro First secara eksklusif mulai 23 Oktober ini.
Peminat karya berkenaan yang merindui keletah Cik Kiah serta pelakon lain tentu tidak mahu terlepas menontonnya.
Selain mengekalkan Delimawati sebagai Cik Kiah, ia turut dibintangi Imuda, Cha Cha Maembong, Syuk SYJ, Hazwan Skool of Lawak, Man Kadir dan Sharwani NS.
Dalam sesi pratonton di Kuala Lumpur kelmarin, ternyata tema dipertaruhkan dalam Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya cukup kuat dan dekat di hati masyarakat.
Pendekatan bijak Mamat wajar mendapat pujian lantaran apa yang digambarkannya berdasarkan realiti sebenar.
Lebih dekat dan mengambil inspirasi daripada pengalaman serta cerita orang sekeliling, Mamat mengangkat idea mengenai cabaran individu yang pergi menunaikan haji.
Di sebalik keterujaan jemaah yang bakal menunaikan ibadah itu, Mamat merungkai beberapa kejadian sebenar termasuklah pelbagai cabaran dihadapi mereka.
Selepas 16 tahun, Mamat mengakui berdepan cabaran bagi mengembalikan aura telefilem itu sendiri untuk menjadikan sekuel berkenaan menjadi seperti sebelumnya.
Jika sekuel terdahulu ada titik fokusnya di mana kebetulan Sukan Komanwel dilangsungkan di negara ini pada 1998, sekuel terbaru itu pula menuntutnya hadir dengan idea lebih relevan.
Persoalan pertama yang tercetus adakah jenama karya itu sendiri masih relevan? Cabaran itulah yang Mamat hadapi di mana dia perlu menghidupkan semula ceritanya tetapi dalam penceritaan berbeza serta mampu diterima sekarang.
“Memilih tema menunaikan haji ternyata satu pilihan tepat kerana isu itu cukup dekat dengan masyarakat kita. Ini kerana banyak sebenarnya kisah dalaman yang tidak diketahui.
“Bukan saja terjadi kepada diri sendiri, tetapi pengalaman orang lain saya ambil yang seterusnya diolah bagi menjadikan ceritanya lebih menarik,” katanya.
Antaranya ialah jemaah terpaksa berputih mata akibat visa tidak diluluskan di saat-saat akhir serta pelbagai cabaran ketika dalam persiapan mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
“Bagaimanapun, inti pati utamanya masih sebagai hiburan yang mana biarpun mengetengahkan realiti, saya tetap mengolah ceritanya supaya lebih menghiburkan. Paling penting, ada mesej boleh dipetik daripada karya ini untuk dijadikan peringatan kepada penonton,” katanya.
Memang benar, di sebalik sekadar peristiwa lucu yang menghiasi keseluruhan cerita ini, banyak lagi elemen penting ditonjolkan Mamat dalam Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya. Contohnya, seseorang itu sepatutnya tidak boleh bercakap riak dan merasakan dirinya saja betul dalam satu-satu hal sehingga menyinggung orang lain.
Begitu juga permainan watak yang diolahnya kerana selain menonjolkan Cik Kiah, beberapa watak lain turut menyerlah dan menarik perhatian.
Mamat sendiri mengakui, pendekatan ‘antihero’ sememangnya cukup sebati dengan dirinya yang mana dia sendiri tidak mahu hanya watak utama saja menonjol.
“Pendekatan saya dari dulu memang begitu di mana saya menggunakan elemen ‘antihero’. Saya lebih suka jika watak selain watak utama mendapat perhatian.
“Saya mengambil pendekatan ini disebabkan banyak terpengaruh dengan filem Itali yang sentiasa tampil dengan elemen sedemikian,” katanya.
Menurut Mamat, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya juga bakal menjadi sekuel terakhir dan dia lebih suka memfokuskan kepada idea baru pula.
Sinopsis cerita
Berdurasi selama satu jam 40 minit, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang cukup teruja untuk menghantar Isnin (lakonan Man Kadir) ke Kompeks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor menunaikan ibadah haji.
Leman (Imuda) pula memilih untuk mengikuti pakej haji yang lebih murah dan menolak untuk pergi bersama mereka.
Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, pelbagai insiden ditempuhi di mana selain terpaksa menunggu lama bas yang disewa hingga Isnin hampir-hampir tidak sempat sampai ke Kelana Jaya.
Selain itu, di sebalik rombongan berkenaan, turut ditonjolkan kegelisahan Nur Ain (Cha Cha Maembong) dan Majid (Hazawan Skool of Lawak) yang sedaya-upaya untuk memaklumkan rancangan perkahwinan mereka kepada orang tua masing-masing.
Niat itu nyata terbantut apabila ibu Nur Ain iaitu Cik Kiah memang tidak sefahaman dengan bapa Majid iaitu Leman.