Tanyalah secara rawak kepada mana-mana pihak mengenai Fasha Sandha,
dua respon spontan yang selalu kita dengar adalah disiplinnya yang
terpuji dan isu kontroversi yang singgah selama lebih sedekad bergelar
anak seni.
Jika sebut mengenai disiplin, pembawaan diri pelakon berusia 30 tahun
ini dalam mengamalkan aspek ketepatan masa dan profesionalisme kerja
memang tidak dapat disangkal.
Namun perjalanan bintang ini juga tidak sunyi daripada asakan
kontroversi. Tidak perlu dibariskan kontroversi yang pernah
membelenggunya tapi semua unsur negatif makin lenyap seiring peralihan
fasa kehidupannya.
Ketika diajukan perubahan itu, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha
Sandha Hassan berkata, perkara itu sudah mampu ditangkis jauh-jauh
sejurus dia bergelar isteri.
"Selepas saya berkahwin dan mempunyai cahaya mata, jarang sekali saya
ditimpa kontroversi. Saya akui dapat merasakan perbezaan itu," jawabnya
secara ringkas.
Katanya, kisah lama itu adalah pengalaman bernilai, menjadikan dirinya lebih bijak mengendalikan sebarang kontroversi.