KUALA LUMPUR: Peluang untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh
malam ini tidak terjejas walaupun jerebu melanda di beberapa kawasan di
seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail
memberitahu Bernama di sini hari ini, keadaan jerebu adalah sederhana
dan tidak menjejaskan penglihatan untuk melihat fenomena gerhana itu.
"Jerebu tidak tebal. Ia tidak menghalang orang ramai untuk menyaksikan fenomena ini," katanya.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan hanya Tanjung
Malim, Perak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu
bacaan (112) setakat pukul 6 petang.
Sebanyak 34 kawasan mencatat IPU sederhana antaranya Batu Muda, Kuala
Lumpur (72), Kemaman, Terengganu (64) dan Kuala Selangor, Selangor
(53).
Bacaan IPU baik berada antara 0-50, sederhana (51-100), tidak sihat
(100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya pada bacaan
melebihi 300.
Sementara itu, menurut laman web Persatuan Falak Syari Malaysia,
fenomena gerhana bulan penuh berlaku pada malam ini iaitu bersamaan 14
Zulhijjah.
Gerhana itu dapat dilihat dengan mata kasar bermula pukul 5.15 petang dan berakhir pada 8.34 malam.
Gerhana bulan akan hanya dapat kelihatan di seluruh Malaysia ketika
waktu Maghrib, iaitu terbenamnya matahari di langit barat dan timbulnya
bulan di langit timur. - BERNAMA