Sungai Petani: Seorang lelaki warga Thailand maut manakala dua rakan
senegaranya parah apabila kereta yang mereka naiki bersama tiga lelaki
lain terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Sungai
Petani-Alor Setar, berhampiran Bedong, dekat sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 6.45 pagi ketika mangsa, Araming Dusong, 34,
yang memandu kereta Kia Spectra bersama lima rakannya cuba mengejar masa
bagi menaiki kereta api di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)
di Gurun, dekat sini, untuk pulang ke negara mereka.
Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa hilang
kawalan lalu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan
bertembung van kilang yang membawa enam penumpang termasuk pemandu
sebelum sebuah kereta Proton Saga turut melanggar belakang van
berkenaan.
Akibat kejadian itu, mangsa berasal dari Kampung Yarong, Pattani,
Selatan Thailand bersama dua rakannya tersepit di dalam kereta yang
remuk, manakala 10 mangsa lain cedera ringan.
Difahamkan, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan bagi
mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.