Semenyih: Identiti ‘misteri’ seorang
penumpang wanita yang terkorban dalam nahas helikopter Dauphin AS365N2 di
Kampung Pasir Baru Sungai Pening di sini, Sabtu lalu, disahkan sebagai kenalan
juruterbang helikopter itu.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul
Samah Mat berkata, hasil keterangan diperoleh pihaknya mempunyai asas mangsa
wanita itu, Aidana Baizieva, 25, memang mengenali juruterbang helikopter,
Kapten Clifford W illiam Fournier yang turut terkorban.
“Pihak kami berpuas hati berhubung
siasatan identiti wanita itu walaupun hasil ujian DNA ke atas mayatnya masih
belum dikenal pasti secara konklusif.
“Siasatan masih dijalankan bagi
mendapatkan bukti lebih jelas hubungannya dengan juruterbang itu,” katanya
ketika ditemui pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi di Jalan Sungai
Lalang di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan polis
terhadap wanita itu mendapati mangsa pernah belajar di negara ini antara tahun
2010 dan 2014.
“Wanita ini pernah melanjutkan
pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi swasta sebelum menamatkan
pengajian dalam bidang diploma pelancongan di Kolej SEGi Oktober tahun lalu.
“Kami juga berjaya mengesan alamat
kediamannya wanita warga Kyrgyzstan yang terletak di Pantai Dalam di sini,”
katanya.
Menurut Abdul Samah, pihaknya turut
memperoleh bukti dan keterangan daripada rakan mangsa yang menunjukkan wanita
itu kenalan kepada Clifford.
“Selain itu, polis turut mempunyai
bukti juruterbang terbabit mempunyai akses ke pangsapuri wanita itu.
“Kita sudah memeriksa rumah mangsa
dan mengambil beberapa spesimen untuk tujuan perbandingan DNA,” katanya.
Abdul Samah berkata, hasil pemeriksaan
di dalam rumah mangsa turut menemui tiket penerbangan tertera butiran mangsa
dengan juruterbang terbabit yang pernah pergi ke acara LIMA di Langkawi pada 21
Mac lalu.
Beliau berkata, pihaknya masih
meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti lebih jelas hubungan wanita itu
dengan juruterbang terbabit.
“Bagaimanapun, hasil keterangan
diperoleh polis setakat ini mempunyai asas mangsa memang mengenali rapat
juruterbang itu,” katanya.