Menu Kak Murni tetap RM1


Nibong Tebal: Sudah 10 tahun beroperasi, namun harga makanan yang dijual masih kekal RM1 menjadi kelebihan kepada gerai Kak Murni di Kampung Sungai Buaya di sini, yang terus menjadi tumpuan terutama bagi mereka mahu menikmati makanan berkualiti pada harga murah.

Menu utama seperti laksa, mi dan bihun serta ais batu campur (ABC) dihidangkan pada harga RM1 dan pemiliknya Murniza Md Isa, 35, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Murni tidak bercadang menaikkan harga walaupun ada antara bahan mentah terpaksa dibeli pada harga lebih mahal selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan 1 April lalu.

Kak Murni berkata, walaupun dijual pada harga RM1 makanan dihidangkan sentiasa dipastikan kekal enak dan kuantiti hidangan pula berbaloi.

“Apa yang penting bagi saya adalah kepuasan pelanggan dengan memastikan laksa dan makanan lain yang dijual kekal lazat seperti sebelum ini,” katanya. 

Kak Murni berkata, sebelum ini ada yang mengatakan dia akan rugi atau tidak akan mendapat keuntungan jika terus mengekalkan harga sama.