Ubah cara belanja hadapi kenaikan harga

Kuala Lumpur: Semua pihak dinasihatkan bertindak wajar dalam mengimbangi perbelanjaan masing-masing ekoran peningkatan berterusan harga pelbagai barang pada masa sekarang.

Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata senario kenaikan harga barang menyebabkan banyak pihak tertekan, justeru kerajaan, institusi kewangan, pengguna dan masyarakat perlu memainkan peranan supaya dapat menghadapi situasi ini dengan rasional.

 Beliau berkata, ketika ini pengguna berada pada peringkat memahami keadaan yang bakal mereka hadapi, tetapi masih belum menerima tekanan akibat kenaikan harga.

Pihak berkaitan seperti kerajaan yang mempunyai keupayaan untuk mengawal harga harus membantu masyarakat melalui pengurangan kos daripada sektor yang difikirkan bersesuaian” Abdul Rahim Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara

“Pengguna perlu mengubah cara berbelanja dan diberi pendidikan mengenai pengurusan wang dengan sistematik. Mereka juga dinasihatkan tidak mencari jalan penyelesaian mudah dengan membuat pinjam di luar kemampuan kewangan.

Bantu kurangkan kos

“Kita bimbang akibat daripada kenaikan harga ini ia juga akan meningkatkan kadar hutang isi rumah. Pihak berkaitan seperti kerajaan yang mempunyai keupayaan untuk mengawal harga harus membantu masyarakat melalui pengurangan kos daripada sektor yang difikirkan bersesuaian,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Baharuddin, berkata persatuan pengguna harus berganding bahu dalam memastikan harga barangan sentiasa terkawal.
Katanya, pengguna sering terperangkap apabila peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

Pertahan hak pengguna

“Persatuan Pengguna harus lebih agresif dalam mempertahankan hak pengguna yang sering menjadi mangsa setiap kali harga barang naik. Persatuan dapat membantu dalam memberi cadangan atau melaporkan aduan terhadap peniaga cekik darah,” katanya.

Beliau berkata, kuasa beli pengguna tidak lagi seperti dulu berikutan kenaikan pelbagai kos.