Menurut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Kuala Lumpur antara lokasi persinggahan trofi itu dalam Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014.
Trofi itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 3 Januari ini dan diikuti pelbagai aktiviti yang diatur oleh Coca-Cola, selaku rakan kongsi korporat FIFA.
Di Myanmar
Ketika ini trofi itu berada di Myanmar dan akan ke Thailand hari ini dan berada di sana selama tiga hari sebelum ke Vietnam (31 Disember hingga 2 Januari).
Kembara trofi itu bermula dari Rio de Janeiro, Brazil atau secara tepatnya dari lokasi patung Christ the Redeemer, monumen terkenal di bandar raya itu pada 12 September lalu.
Jelajahnya membabitkan 88 negara dan wilayah, dengan jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 150,000 kilometer dalam tempoh 267 hari sebelum kembali ke Brazil yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia 2014. - BERNAMA