Single Terbaru Sixth Sense Pertaruhkan Genre Dangdut


Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan Sixth Sense yang popular dengan lagu seperti Hari ini dan Semalam, Khatimah Cinta dan Menyesal. Tahun demi tahun, kumpulan ini terus berjaya mendapat tempat di hati peminat. Buktinya, pada tahun ini mereka turut telah tercalon didalam kategori Top 5 Artis Duo/Berkumpulan bagi sebuah anugerah berprestij yang bakal berlangsung nanti.

Ditanya mengenai apakah ramuan yang diamalkan oleh kumpulan ini sehingga mampu mengekalkan nama sehingga ke hari ini. Mereka berpendapat selain berani mencuba pelbagai genre lagu mereka turut sepakat untuk berani bergerak secara sendiri selepas tamat kontrak dengan pihak pengurusan.

Perkara ini diambil oleh Sixth Sense kerana merasakan mereka mempunyai cara yang tersendiri selain mempunyai karya serta lagu yang meliputi pelbagai genre. Oleh sebab itu, mereka tidak mahu genre lagu mereka terbatas untuk disampaikan kepada peminat semua. Untuk perhatian, vokalis Adi pernah mencipta nama dengan menerbitkan lagu untuk beberapa artis ternama seperti Alyah, Dato Siti Nurhaliza dan Hazama.

Mengenai perkembangan semasa pula, mereka bakal muncul dengan album kompilasi yang mengandungi single terbaru mereka iaitu 7 Kali Malam Minggu, Sebuah Maksud serta lagu Manisnya Cinta yang pernah dimuatkan dalam filem Manisnya Cinta di Cappodacia. Istimewa single pada kali ini ialah menampikan genre dangdut yang pernah berada di zaman kemuncak pada suatu ketika dahulu.

Lagu yang turut dimasukkan ke dalam album Sense Of Love ini ialah lagu baru dari kumpulan Sakura Band serta Cherpen Band iaitu band muzik yang berada di bawah naungan syarikat 6ixth Sense Production.