Rakyat Malaysia, dua isteri ditahan perdaya wanita melacur

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand menahan seorang lelaki rakyat Malaysia dan dua isterinya rakyat negara itu kerana terbabit memperdaya wanita Thailand membabitkan diri dalam pelacuran di luar negara menggunakan Facebook.


Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand hari ini, lelaki berkenaan, Kheng Hsiang Low atau Steven Low, 40, dan dua wanita terbabit, Ratchadapan Saenkasem, 35, serta Kalaya Somsri, 35, memperdaya wanita Thailand melalui Facebook sebelum memaksa mangsa menjadi pekerja seks di Kuala Lumpur.

Menurut jurucakap polis Leftenan Kolonel Komvich Padhanarath, mereka ditahan di tiga lokasi berbeza di Thailand minggu ini dan seorang lagi rakyat Malaysia yang masih bebas, sedang diburu.
Menurut Komvich, Low memberitahu mangsa mereka akan bekerja di restoran, spa atau pusat karaoke di Malaysia.

Menurut laporan Bangkok Post, Low yang ditahan di terminal bas Mor Chit, menggunakan salon kecantikan Ratchadaporn di Bang Bon, Bangkok, dan Kalaya yang tinggal di Phayao’s Dok Kham Tai untuk memperdaya mangsa.

Dua wanita itu mendakwa Low memiliki saham dalam perniagaan spa, pusat karaoke serta hotel di Kuala Lumpur dan mereka boleh mendapat sehingga 100,000 baht sebulan manakala tempat tinggal dan makanan disediakan.

Tawaran menarik itu menyebabkan antara enam hingga tujuh wanita menjadi mangsa mereka setiap bulan.

Enam wanita Thailand yang menjadi mangsa meminta bantuan Kedutaan Thai di Kuala Lumpur membolehkan pihak berkuasa kedua-dua negara mengaturkan penahanan suspek.

Ketiga-tiga mereka akan didakwa memperdagang manusia, memaksa wanita menjadi pelacur dan menyertai rangkaian jenayah antarabangsa. - Agensi