Bekas penyerang Harimau Malaya parah

Kota Kinabalu: Bekas penyerang Harimau Malaya, Rozaimi Abd Rahman, 23, parah selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok dan tembok di Batu 3.5 Jalan Tuaran, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, pemandu kereta jenis Honda Civic yang juga pemain Piala Presiden Sabah, Ak Mohd Farris Mahamud, 21, turut mengalami cedera parah.

Rozaimi kini dirawat di Unit Kecemasan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan kini sedarkan diri manakala Farris dirawat di hospital sama masih belum sedar.

Pegawai Hubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari sebelum menghantar sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi.

"Bomba tiba di lokasi pada jam 1.46 tengah hari dan mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa lalu dihantar ke hospital dengan ambulans," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Pasukan Sabah Rahman Zakaria ketika dihubungi mengesahkan Rozaimi terbabit dalam kemalangan dan kini masih menerima rawatan lanjut.

Rozaimi, mula mencipta nama pada kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun pada 2012 apabila muncul penjaring terbanyak dengan 10 gol, selain pernah dinobatkan 10 pemain terbaik Asia oleh saluran sukan ESPN pada tahun sama.